11 Mac 2025 – Seksyen Galeri Jabatan Perpustakaan UTM Johor Bahru telah berjaya menganjurkan Program Temu Bual Sejarah Lisan Tokoh Akademik dan Pengurusan UTM pada 11 Mac 2025 (Selasa), bermula jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, bertempat di Sudut Bacaan Tan Sri Dr. Salleh bin Mohd Nor, Pro-Canselor UTM, Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah UTM Johor Bahru.
Bagi sesi kali ini, tokoh yang diketengahkan ialah seorang figura yang tidak asing lagi di kalangan warga Jabatan Perpustakaan UTM, iaitu Puan Nor Asikin binti Mohamad, Ketua Pustakawan Jabatan Perpustakaan UTM. Sesi temu bual ini dikendalikan oleh Cik Haslina binti Othman, Timbalan Ketua Pustakawan, Bahagian Ilmu Pengetahuan Institusi.
Temu bual ini merangkumi pelbagai aspek menarik, termasuk perjalanan kerjaya Puan Nor Asikin, cabaran yang dihadapi, pencapaian signifikan, serta pandangan dan harapan beliau terhadap hala tuju masa depan Jabatan Perpustakaan UTM.
Program dimulakan dengan sesi taklimat ringkas perjalanan program oleh Puan Nabila binti Jamil, diikuti dengan sesi temu bual yang berlangsung secara interaktif dan bermakna. Selesai sesi temu bual, program diteruskan dengan penyampaian cenderahati, sesi bergambar, dan diakhiri dengan jamuan ringan sebagai tanda penghargaan.
Sepanjang sesi temu bual, tiga topik utama telah dikupas, iaitu:
- Latar Belakang Tokoh – Perjalanan hidup, pendidikan, dan pengaruh keluarga.
- Pengalaman Kerjaya di UTM – Cabaran, kejayaan, dan sumbangan sepanjang berkhidmat.
- Harapan dan Aspirasi – Pandangan terhadap masa depan perpustakaan dan pembangunan akademik.
Program ini merupakan salah satu inisiatif penting dalam memperkaya khazanah ilmu universiti melalui pendokumentasian sejarah lisan (oral history), sekali gus menjadi sumber rujukan berharga bagi generasi akan datang. Pendekatan ini mencerminkan komitmen Jabatan Perpustakaan UTM dalam memelihara dan mengangkat nilai sejarah, warisan ilmu, dan tradisi intelektual institusi ke peringkat yang lebih tinggi.
Dengan terlaksananya program ini, diharapkan usaha berterusan akan diteruskan untuk merakam lebih banyak sejarah lisan tokoh-tokoh akademik dan pengurusan, sekali gus mengukuhkan peranan perpustakaan sebagai pusat penyebaran ilmu yang dinamik dan berwawasan.