Pada 5 September 2024, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PUTMKL) telah mengadakan Program BookSharing@UTMKL 2024 Siri ke-11. Panel jemputan pada kali ini adalah Cik Nor Natashabilla Abdullah dan Cik Nur Anstassah Iskandar yang merupakan mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kini sedang menjalani latihan industri di PUTMKL.


Bagi memulakan perkongsian, moderator pada kali ini iaitu Encik Hanis Rahim mempersilakan Cik Nor Natashabilla Abdullah untuk memulakan perkongsian buku pilihan beliau yang bertajuk 7 Keajaiban Diet Rasulullah, yang ditulis oleh Hamid Addin.

Menurut beliau, buku ini memberi perincian kepada pembaca mengenai kaedah diet yang diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Kebanyakan orang berpendapat nahawa diet itu adalah semata-mata dengan mengehadkan jumlah makanan, namun buku ini menyatakan bahawa terdapat makanan yang boleh ditetapkan secara harian untuk kekal sihat. Penulis turut menekankan bahawa zat, kalori, serat dan sebagainya perlu untuk tubuh badan agar kekal sihat.


Selain itu, buku ini turut memberikan panduan menurut islam dalam kaedah diet yang paling berkesan dan terbaik – contoh yang terbaik dari Rasulullah s.a.w. untuk sentiasa sihat iaitu membahagikan diet kita kepada tiga bahagian – satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan (udara). Amalan ini diperakui dapat memberikan kesan kesihatan yang ketara di mana amalan diet seimbang adalah sesuatu yang diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Hal ini ditambah juga dengan aktiviti fizikal yang menyihatkan seperti sukan dan riadah.

Perkongsian diteruskan lagi oleh Cik Nur Anstassah Iskandar yang memilih buku bertajuk Ubah Patah Hati Jadi Prestasi, yang ditulis oleh Addien Abdul Kadir dan Dwi Suwiknyo.  Menurut panel, buku ini amat istimewa dan relevan dalam kehidupan terutama ketika sedang kecewa atau gagal dalam hidup. Secara ringkasnya, buku ini membincangkan tentang bagaimana seseorang dapat mengubah kesedihan akibat patah hati dan seterusnya menjadi kekuatan untuk mencapai prestasi yang lebih besar. Semua yang ditulis adalah langkah dan nasihat yang praktikal berdasarkan pengalaman penulis itu sendiri.

Penulis turut menekankan betapa pentingnya memahami konsep patah hati kerana ia adalah satu keadaan yang normal dan tidak dapat dielakkan. Penulis juga membincangkan untuk mengubah perspektif terhadap kegagalan di dalam buku ini. Anggap kegagalan itu sebagai satu proses pembelajaran dan pengembangan kepada situasi yang lebih baik.

Share this :