24 April 2025 (Khamis) – Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah berbesar hati menerima kunjungan lawatan daripada wakil Sekolah Menengah Atas (SMA) Islam As-Shofa, Indonesia. Lawatan ini disertai oleh tiga orang tenaga pengajar dari sekolah tersebut dan diiringi oleh pustakawan bertugas dari Unit Promosi, Puan Sharifah Radhiah Syed Azman yang telah memberi taklimat dan penerangan kepada para pelawat berkaitan dengan perpustakaan ini.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mendapatkan maklumat berkaitan kemudahan serta peranan perpustakaan akademik di UTM. Lawatan ini juga bertujuan untuk proses penandaarasan (benchmarking) di antara institusi pendidikan sebagai persediaan untuk pelajar mereka membuat pilihan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Sepanjang sesi lawatan, para pelawat telah diberi penerangan menyeluruh berkaitan dengan peranan perpustakaan dalam menyokong pembelajaran dan penyelidikan, terutamanya dalam menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang mesra pengguna. Perpustakaan UTMKL sentiasa komited untuk menjadi pusat rujukan utama bagi pengguna, khususnya mahasiswa UTM, yang dianggap sebagai ‘pelanggan’ utama universiti. Maka, penyampaian perkhidmatan yang efisien dan mesra amat dititikberatkan bagi memastikan kepuasan pengguna sentiasa terpelihara.
Selepas sesi taklimat, para pelawat turut dibawa melawat ke beberapa fasiliti utama yang disediakan di perpustakaan seperti Ruang Bacaan dan Ruang Galeri. Kedua-dua ruang ini mempamerkan pelbagai inisiatif perpustakaan dalam menyemarakkan budaya ilmu serta berperanan sebagai penyimpanan khazanah pengetahuan universiti.
Pihak Perpustakaan UTMKL mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian SMA Islam As-Shofa melawat. Semoga hubungan baik yang terjalin ini akan terus mekar dan membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua institusi pada masa akan datang.
Author : Norzilah Binti Abd Aziz