Program Sesi Ramah Mesra Bersama Komuniti yang berlangsung pada 29 April 2025 bertempat di Library X-Change Hub, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah dikendalikan oleh Puan Nurrull Huda Abdul Wahab selaku Pustakawan Kanan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Perpustakaan turut menjemput beberapa pewakilan dari kalangan komuniti sekitar iaitu pengerusi PPR Desa Rejang Tuan Haji Ismail Shaari, pengerusi PPR Seri Semarak Encik Azmie Abdul Aziz dan wakil-wakil lain.

Objektif program ini adalah untuk memperkukuhkan peranan Perpustakaan UTMKL sebagai pusat rujukan dan inovasi komuniti. Program ini juga bertujuan meningkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti perpustakaan, memperluaskan akses kepada sumber maklumat dan teknologi digital, serta membina kerjasama strategik dengan pihak industri, NGO dan institusi akademik.


Selaras dengan usaha menjadikan Perpustakaan UTMKL sebagai pusat rujukan dan inovasi komuniti, setiap program yang dijalankan akan mengaplikasikan konsep “Think & Do”. Pendekatan ini bertujuan melatih peserta berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan masalah serta menghasilkan produk inovatif. Melaluinya, peserta bukan sahaja dapat mengasah bakat dan potensi diri, malah berpeluang menjana pendapatan sampingan melalui hasil ciptaan mereka.


Penganjuran program akan menampilkan dua elemen utama iaitu Bengkel Pemasaran Digital dan Bengkel Kraf. Bengkel Pemasaran Digital memberi pendedahan kepada peserta tentang strategi pemasaran serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT dan Canva AI dalam perniagaan dan kandungan digital. Sementara itu, Bengkel Kraf menumpukan kepada kemahiran seni kreatif. Perpustakaan UTMKL turut merancang beberapa program lanjutan sepanjang tahun, termasuk perasmian ruang komuniti pada Julai 2025. Inisiatif ini juga menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan dengan komuniti dan mendapatkan maklum balas bagi penambahbaikan perkhidmatan.


Perpustakaan UTM Kuala Lumpur merakamkan penghargaan kepada semua wakil komuniti yang telah hadir dan menjayakan program ini. Diharapkan penganjuran ini dapat mengeratkan hubungan antara perpustakaan dan komuniti serta membuka peluang kerjasama yang lebih meluas pada masa akan datang.

Share this :