Menjadi tradisi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menganjurkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri setiap tahun demi untuk mengeratkan ukhuwah sesama staf UTM dengan membawa semangat Syawal yang mulia. Pada tahun ini, Majlis Tautan Ukhuwah Syawal UTM 2025M/1446H membawa tema “Islamik Geometri” menyerikan Aidilfitri yang semestinya membawa kepada persembahan reruai dan hidangan oleh jabatan-jabatan di UTM yang unik dan penuh warna-warni.

Tema “Islamik Geometri” telah diketengahkan melalui penggunaan corak geometri berkonsepkan Islam yang menghiasi latar belakang, pentas, dan reruai Pusat Tanggungjawab (PTJ). Motif geometri yang  disampaikan seperti bentuk bintang, oktagon, dan sebagainya memberi imej Islamik yang sarat dengan simbolik kehambaan kepada Yang Maha Pencipta dan penyatuan rasa dengan alam sekitar. Warna-warna harmoni mendominasi ruang dengan elemen pencahayaan lembut daripada lampu hiasan yang menyerikan lagi suasana majlis ini.

Para tetamu yang hadir mengenakan busana tradisional Melayu dan jubah moden menambahkan lagi seri dan kemeriahan majlis. Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk pertandingan Gerai Ceria, persembahan kebudayaan, serta jamuan makanan tradisional seperti rendang, lemang, lempeng, roti jala dan kuih-muih. Keakraban jelas terpancar apabila warga kampus dari pelbagai latar belakang berkumpul bersama-sama dalam suasana yang penuh mesra dan harmoni.

Lebih menggembirakan lagi, Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) telah memenangi tempat kedua bagi pertandingan Gerai Ceria di mana JPUTM telah menampilkan hiasan dengan elemen corak geometri serta tulisan khat yang indah dengan beberapa hiasan tambahan dengan penggunaan bahan kitar semula. Hal ini memberi makna amalan lestari turut diterapkan sejajar dengan amalan Islam itu sendiri yang amat mesra kepada pendekatan berjimat-cermat serta tidak membazir.

Keseluruhan majlis ini telah berjaya mengeratkan tautan ukhuwah di antara staf jabatan di samping menyerlahkan upaya kreatif warga UTM yang dapat ditonjolkan. Tema “Islamik Geometri” ini bukan sahaja sekadar melatari majlis, sebaliknya memberi pendedahan kepada warga UTM tentang nilai tradisi Islam yang dipersembahkan dalam bentuk seni rekabentuk dan keindahan yang dipersembahkan dapat memberi inspirasi dan ketenangan kepada para peminatnya.

Share this :