Program Ijtihad Pustaka merupakan sebuah program anjuran Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) sinergi bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS). Ia telah berlangsung pada hari Rabu, 5 Mac 2025 pada jam 11.00 pagi secara dalam talian melalui sosial media rasmi Facebook dan Youtube Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia, serta Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka. Panel jemputan bagi program kali ini ialah Dr. Othman Sahalan, pengarah markas Syed Alwi Al Haddad, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim dan moderator adalah Encik Muhammad Syafiq Aiman Bin Che Musa, guru akademik SK Pengkalan Rinting, Johor.

Panel jemputan telah membicarakan buku berjudul Surah Al-Fatihah Dari Perspektif 12 Ulama Tafsir yang dikarang oleh Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad Wan Sulong. Sebagai pengenalan, panel menyatakan bahawa buku ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu pengenalan Surah al-Fatihah dan tafsir surah tersebut. Panel menghuraikan berkaitan Surah Al-Fatihah yang menjadi surah pembuka atau permulaan kepada keseluruhan isi kandungan Al-Quran. Perkataan Al-Fatihah berasal daripada kata akar bahasa Arab فَتَحَ (fataha) yang bermaksud “membuka”.

Selain itu, Surah Al-Fatihah juga mempunyai beberapa nama lain yang menunjukkan keistimewaannya, seperti Ummul Kitab (Ibu Kitab) kerana ia merangkumkan inti pati Al-Quran, As-Sab’ul Mathani (Tujuh Ayat yang Diulang-ulang) kerana ia dibaca berulang kali dalam solat, dan Ash-Shifa (Penyembuh) kerana ia memiliki keberkatan dalam penyembuhan rohani dan jasmani.

Membaca Surah Al-Fatihah mempunyai adab-adab tertentu yang perlu dijaga untuk memperoleh keberkatan dan pahala yang lebih sempurna. Kita disarankan membaca Al-Fatihah dalam keadaan berwudhu, terutama jika membacanya dari mushaf dan dimulai dengan ta’awwuz dan basmalah. Bacaan juga hendaklah dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT dan membaca dengan tartil, iaitu dengan sebutan yang jelas dan tenang.

Panel menerangkan bahawa mentafsir Al-Quran bukanlah tugas yang mudah. Ia memerlukan penguasaan disiplin ilmu yang mendalam. Terdapat juga pandangan yang menyamakan tafsir dengan terjemahan, sedangkan kedua-duanya mempunyai perbezaan yang ketara. Terjemahan ialah pemindahan kata demi kata ke dalam bahasa yang dikehendaki, manakala tafsir merupakan penjelasan dan huraian yang lebih mendalam terhadap makna yang telah diterjemahkan.

Contohnya Tafsir bil Ma’thur (التفسير بالمأثور) ialah kaedah tafsir yang berdasarkan riwayat atau sumber-sumber yang sahih, seperti Al-Quran, hadis, pendapat sahabat, dan tabi‘in. Ia dianggap sebagai bentuk tafsir yang paling autentik kerana bersandarkan kepada sumber yang dipercayai dalam memahami maksud ayat-ayat Al-Quran dan juga Tafsir Jāmi‘ al-Bayān fi Ta’wīl al-Qur’ān (تفسير جامع البيان في تأويل القرآن), lebih dikenali sebagai Tafsir al-Tabari, ialah salah satu tafsir bil ma’thur yang paling terkenal. Ia ditulis oleh Imam Abu Ja‘far Muhammad ibn Jarir al-Tabari(838–923M), seorang ulama besar dalam bidang tafsir, hadis, dan sejarah Islam.

Tafsir Al-Qurtubi atau nama penuhnya “Al-Jāmi‘ li Akām al-Qur’ān” (الجامع لأحكام القرآن) ialah sebuah kitab tafsir yang ditulis oleh Imam Abu ‘Abdullah Muhammad ibn Ahmad al-Qurtubi (wafat 1273M). Ia merupakan salah satu tafsir yang terkenal dalam bidang fiqh al-Qur’an, kerana memberi penekanan kepada hukum-hakam yang terkandung dalam ayat-ayat Al-Quran.

Ibn ‘Ashur (محمد الطاهر ابن عاشور) ialah seorang sarjana tafsir dan fiqh dari Tunisia yang terkenal dengan pemikiran reformisnya. Nama penuhnya ialah Muhammad al-Tahir ibn ‘Ashur (1879–1973). Beliau dikenali kerana tafsirnya al-Tahrir wa al-Tanwir, yang menekankan pendekatan maqasid (tujuan syariah) dalam memahami Al-Quran. Ibn ‘Ashur juga memainkan peranan penting dalam pemikiran Islam moden, terutamanya dalam mengembangkan konsep Maqasid al-Shari‘ah (tujuan syariah) yang lebih luas daripada sekadar kategori klasik yang diperkenalkan oleh al-Shatibi.

Kesimpulannya, buku ini memberikan gambaran yang luas dan mendalam tentang Surah Al-Fatihah melalui kaca mata ulama tafsir yang berbeza. Ia bukan sahaja membantu memahami makna literal surah ini, tetapi juga memberi perspektif rohani, hukum, dan falsafah yang terkandung di dalamnya. Justeru, buku ini amat sesuai untuk pembaca yang ingin mendalami tafsir secara lebih akademik dan berstruktur.

Share this :