Jabatan Perpustakaan UTM telah menganjurkan Program Read & Relax bagi siri 18/2024 pada 26 September 2024 (Khamis) jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari yang disiarkan secara langsung melalui Facebook dan Youtube Jabatan Perpustakaan UTM. Dua (2) orang panel pengulas ialah Puan Norhalisa binti Ali dan Puan Nor Azreen binti Ibrahi dari Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan, Jabatan Pendaftar UTM. Moderator pula adalah Puan Nas Rashidah Binti Mohd Muztaza, Pustakawan Jabatan Perpustakaan UTM Johor Bahru.
Panel pengulas pertama, Puan Norhalisa Ali memilih buku bertajuk “The Power of Now” hasil karya Echkart Tolle. Menurut beliau, buku ini merupakan sebuah karya pencerahan spiritual yang menekankan kepentingan hidup masa kini, dengan memberi panduan bagi mencapai kedamaian dalaman dan kebahagiaan sejati. Penulis membawa pembaca mendalami konsep mindfulness, iaitu berhenti sejenak dan imbas kembali masa lalu atau berfikir situasi mencemaskan masa depan dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada masa sekarang. Buku ini turut mendorong pembaca untuk melihat kehidupan dengan kesederhanaan dan keseimbangan yang berterusan.
Panel pengulas kedua, Puan Nor Azreen Ibrahim berkongsi buku bertajuk “How To Talk To Anyone” yang ditulis oleh Leil Lowndes. Menurut pengulas, buku ini adalah panduan praktikal untuk memperbaiki kemahiran berkomunikasi, membina keyakinan diri, dan membina hubungan yang baik dengan orang di sekeliling. Buku ini menyenaraikan 92 teknik dan strategi mudah yang boleh digunakan untuk meningkatkan keterampilan sosial, memenangi kepercayaan orang lain, dan membina rangkaian sosial yang kuat.