Program BookSharing @UTMKL 2024/Siri 12 telah diadakan pada Khamis, 19 September 2024. Seperti kelazimannya, dua (2) orang penyampai akan dijemput untuk membuat perkongsian bersama penonton. Untuk siri kali ini, dua orang penyampai yang dijemput adalah Encik Muhamad Shafiq bin Shafarin (Penolong Jurutera, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan)) dan Muhammad Fakhruddin bin Husin (Penolong Pegawai Sains Timbalan Naib Canselor (Peyelidikan & Inovas)).

Bagi memulakan program, moderator Encik Nor Iman bin Ibrahim telah menjemput Encik Muhamad Shafiq bin Shafarin bagi memulakan perkongsian. Menurut beliau, buku bertajuk Badminton yang ditulis oleh Ab Aziz Hj Mohamad ini dipilih kerana badminton adalah sukan kegemaran beliau dan buku merupakan panduan sukan permainan badminton yang menerangkan asas kemahiran permainan badminton.

Tambahnya lagi, buku ini memberi rujukan pantas panduan permainan badminton dan meningkatkan lagi kemahiran bermain badminton. Melalui buku ini, penulis berjaya membimbing pembaca tentang permainan badminton secara menyeluruh, bermula daripada langkah pertama iaitu sejarah awal permainan badminton, peralatan yang diperlukan, pakaian, pengadil, kemahiran asas pemainan sehingga kepada latihan dan teknik-teknik permainan yang kemas dan tersusun. Berkurangnya buku yang menerangkan lanjut berkaitan permainan badminton ini, manjadikan buku ini adalah satu kewajiban untuk membaca agar teknik-teknik permainan badminton ini dapat difahami dengan lebih baik dan mampu memupuk semangat kesukanan yang tinggi pada semua pembaca.

Program diteruskan dengan menjemput  Encik Muhammad Fakhruddin bin Husin yang memilih buku Kenapa Kerja Tak Habis-habis? , hasil penulisan dari Dr. Amir Syahir & Fakhrur Radzi. Menurut beliau, perhatian dari ibu bapa adalah perlu apatah lagi jika anak-anak masih kecil. Namun, kerana kesibukan ibu bapa itu sendiri, menjadikan kita perlu bersaing untuk mendapatkan perhatian dari ibu bapa iaitu bersaing antara dengan kerja dari ibu bapa, bersaing dengan adik beradik yang ramai dan sebagainya lagi.

Alasan sibuk yang sering diberi oleh ibu bapa adalah mereka bekerja keras untuk anak-anak  dan memberi kesenangan untuk mereka. Namun akhirnya, anak-anak terpaksa bersaing dan mengalah dengan kerja ibu bapanya. Inilah juga yang dihadapi oleh penulis itu sendiri dan penulis berpendapat bahawa ketidakadilan ini telah berlaku kepada anak-anak yang sekaligus anak-anak beranggapan bahawa ibu bapa ini lebih mengutamakan kerja dari mereka. Sekaligus menjadikan mereka ini tidak penting dibandingkan dengan kerja ibu bapa.

Penulis turut menekankan bahawa, zaman kanak-kanak yang dilalui oleh anak-anak tidak akan berulang. Apabila semakin meningkat dewasa, anak-anak akan lebih selesa bersama sahabat. Namun, jika ibu bapa ini masih sibuk dengan kerja yang tidak akan pernah habis ini, sudah pasti hubungan mesra tidak akan terjalin antara ibu bapa dan anak-anak. Oleh itu, anak-anak lebih selesa berhubungan dengan orang luar berbanding keluarga itu sendiri.

Manakala dari segi anak-anak pula, penulis menitipkan pesanan agar meluangkan masa bersama anak dan tidak mengulangi semula apa yang berlaku kepada mereka. Tanggungjawab anak kepada bu bapa itu tetap ada. Oleh itu, segeralah membuat panggilan yang bertangguh, ziarahi mereka secara berkala dan temani ibu bapa apabila mereka perlu mendapatkan rawatan. Secara kesimpulannya, sentiasa berbuat baik pada setiap orang kerana kita juga akan berada di tempat mereka suatu hari nanti.

Share this :