19 Jun 2025, Khamis – Program BookSharing @UTMKL 2025 Siri ke-4 telah menjemput dua orang pengulas iaitu Puan Nur Suriani Salleh, Pegawai Tadbir dari Fakulti Kecerdasan Buatan dan Puan Siti Hanim Ishak, Pembantu Belia dan Sukan dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Program kali ini dikendalikan oleh Encik Nor Iman Ibrahim, Pembantu Pustakawan dari Perpustakaan UTM Kuala Lumpur selaku moderator. Puan Suriani Salleh telah memulakan perkongsian dengan mengulas buku bertajuk The Rules of Work yang merupakan hasil karya oleh Richard Templar.
Menurut beliau, buku ini merupakan buku yang memberi tunjuk ajar atau panduan komprehensif mengenai prinsip, etika, dan strategi penting yang perlu diamalkan bagi mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam persekitaran kerja profesional yang kompetitif. Penulis buku ini turut mengajar pembaca tentang tingkah laku, komunikasi berkesan, dan perancangan kerjaya untuk memajukan diri tanpa mengorbankan integriti. Setiap “rule” atau peraturan ditulis dalam bahasa yang mudah difahami dan disertai contoh yang realistik. Buku ini juga menekankan kepentingan soft skills, integriti, dan kesedaran terhadap budaya organisasi.

Di akhir perkongsian, pengulas menyimpulkan bahawa buku ini sangat membantu dalam membina kerjaya yang berjaya dengan menguasai peraturan-peraturan penting. Kejayaan dicapai melalui keseimbangan antara cita-cita, profesionalisme, pengurusan diri, dan hubungan yang berhemah.
Program diteruskan lagi dengan perkongsian dari Puan Siti Hanim Ishak yang memilih buku bertajuk Open Water Diver yang merupakan hasil karya seorang penulis dengan pseudonym Padi. Buku ini memberi panduan terperinci tentang teknik penyelaman, prosedur keselamatan, serta persediaan fizikal dan mental untuk mereka yang berminat memulakan pengembaraan dalam dunia penyelaman laut.

Menurut pengulas, buku ini turut mengemukakan beberapa fakta mengenai dunia Open Water Diver. Antaranya, aktiviti menyelam ini mempunyai prosedur keselamatan yang ketat dan tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Statistik yang diberi oleh penulis menunjukkan kadar kemalangan yang sangat rendah iaitu hanya 0.02%, bererti aspek keselamatan amat dititikberatkan dan tidak boleh dikompromi dengan apa kelalaian sekalipun. Selain menceritakan pengalamannya meneroka 71% permukaan Bumi yang diliputi laut, aktiviti ini juga membantu penulis buku ini untuk mengurangkan stress, keresahan dan kemurungan.

Di akhir perkongsian, pengulas menyatakan bahawa buku ini amat sesuai untuk pemula yang ingin membina asas yang kukuh sebelum meneroka dunia bawah air. Ia bukan sahaja membantu pembaca memahami teori menyelam, malah turut mempersiapkan mereka untuk menghadapi pengalaman praktikal dengan keyakinan dan tahap keselamatan yang tinggi.