22 Mei 2025, Khamis – Bersempena Pesta Buku Antarabangsa 2025, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan Program BicaraKarya: Sisi Pena Bersama Penulis. Program ini telah menampilkan Aqila Masri, yang merupakan penulis buku ‘Overthinking, Tapi Buat-buat Ok’.

Moderator program, Puan Nor Ayesha Mohd Ezanee memulakan program dengan berkongsi sedikit latar belakang penulis, Aqila Masri atau nama sebenar beliau Aqila Izzaty Mohamad Asri. Beliau ialah seorang penulis dan ghostwriter sepenuh masa yang aktif menghasilkan karya dalam genre selfhelp dan storytelling. Penulis juga merupakan graduan Diploma Sains Komputer dari Universiti Teknologi  Mara (UiTM) dan kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda dalam bidang Penulisan Kreatif di ASWARA dan kini bernaung di bawah IMAN Publications.


“Overthinking, Tapi Buat-buat OK” merupakan sebuah buku yang mengetengahkan isu tekanan emosi, beban mental dan usaha untuk ‘nampak kuat’ di sebalik kelelahan dalaman. Menurut penulis, antara titik tolak awal terhasilnya buku ini adalah ilham daripada buku Pendiam. Buku tersebut mengetengahkan fokus terhadap personaliti introvert dan pengalaman peribadi penulis sendiri yang sering mengalami situasi overthinking. Sementara itu, tajuk buku ‘Overthinking, Tapi Buat-buat OK’ dipilih oleh pihak penerbit, iaitu Iman Publications.


Selain itu, menurut penulis dari sudut pandangan psikologi, overthinking bukanlah satu penyakit, namun ia dianggap sebagai suatu bentuk pemikiran negatif. Penulis menjelaskan bahawa overthinking boleh menjadi pencetus awal kepada masalah kesihatan mental seperti kebimbangan (anxiety), kemurungan (depression) dan keletihan emosi (burnout). Justeru, penulis menasihatkan agar sesiapa yang mengalami gejala sedemikian mendapatkan bantuan daripada pakar, dan tidak membuat diagnosis sendiri tanpa rujukan profesional.


Ketika ditanya mengenai pengalaman menulis buku ini, penulis berkongsi bahawa sepanjang tempoh pengajiannya, beliau telah bertemu dengan pelbagai guru daripada latar belakang yang berbeza. Antara nasihat yang paling kerap diberikan oleh para guru adalah menulis sesuatu yang lahir daripada diri sendiri, sesuatu yang benar-benar dirasai agar pembaca turut dapat menghayati dan merasai kejujuran dalam penulisan tersebut. Bagi penulis, proses menulis adalah satu bentuk penyembuhan diri.

Buku ini menghimpunkan banyak kata-kata hikmah yang dikongsikan oleh penulis. Menurut beliau, dalam kehidupan seharian, kita memperoleh pelbagai cerita daripada orang di sekeliling serta daripada apa yang kita lihat di depan mata. Pengalaman dan pemerhatian inilah yang banyak menyumbang kepada terhasilnya penulisan kata-kata hikmah ini.

Mengakhiri perkongsiannya, penulis menegaskan bahawa buku ini mendorong individu untuk belajar menulis, bukan sekadar mencoret kata-kata, tetapi sebagai ruang meluahkan rasa dan merawat jiwa, tanpa bergantung kepada orang lain untuk proses penyembuhan diri. Buat mereka yang sedang berjuang dalam diam, jangan terlalu keras terhadap diri sendiri. Kita sering terbiasa memenuhi harapan orang lain hingga terlupa untuk menjaga diri dan perasaan sendiri. Kita juga tidak seharusnya terlalu menghukum atau menyalahkan diri sendiri. Belajarlah untuk memaafkan diri, walaupun kita sedar kesilapan itu berpunca daripada diri kita sendiri. Dapatkan bantuan daripada pakar profesional yang lebih arif dalam hal ini, dan sebagai permulaan, pembaca boleh membaca buku ini terlebih dahulu.


Sesi soal jawab yang berlangsung memperlihatkan keterbukaan peserta, termasuk perkongsian menyentuh hati daripada salah seorang pembaca yang mengakui buku tersebut telah membantu beliau menguruskan kesedihan selepas kehilangan ibu tercinta.


Program diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada penulis sebagai tanda penghargaan daripada pihak perpustakaan. Diharapkan sesi ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada para peserta, tetapi juga menjadi pemangkin kepada kesedaran diri dan sokongan emosi dalam kalangan pembaca.

Share this :
UTM Open Day