21 Julai 2025, Isnin – Jabatan Perpustakaan UTM berbesar hati menerima kunjungan seramai 45 orang pelajar dari Donraegu, Korea Selatan ke Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM. Kunjungan yang turut disertai oleh 5 orang guru pengiring dan 2 orang pegawai majlis ini merupakan anjuran program daripada Seksyen Rekrutmen dan Kemasukan Pelajar (SRADS), UTM.
Lawatan ini diketuai oleh Puan Nor Shaliza Mohd Basarudin, pustakawan dari Unit Promosi, dengan dibantu oleh Puan Norsyazwani Mohd Ariffin, Puan Tuan Syahirah Tuan Abdul Rahman, Puan Siti Anniza Aznan dan Puan Nur Farah Shahzaliana Mohamed Yatim daripada Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perpustakaan UTM. Lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Puan Shiraz Yasmin Muhidin dari Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar, UTM.
Seterusnya, delegasi dibahagikan kepada dua kumpulan, di mana kumpulan pertama dikendalikan oleh Puan Nor Shaliza Mohd Basarudin, manakala kumpulan kedua dikendalikan oleh Puan Norsyazwani Mohd Ariffin bersama Puan Siti Anniza Aznan.
Delegasi telah diberi penerangan mengenai pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan Perpustakaan UTM, khususnya di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS). Mereka turut dibawa melawat ke beberapa ruang utama perkhidmatan rujukan bagi menelusuri kemudahan dan fasiliti yang disediakan.
Antranya ialah ruang akses layanan terbuka yang menempatkan buku-buku rujukan dan pinjaman. Mereka diberi penerangan tentang koleksi tesis lama yang telah ditukar status daripada layanan terhad kepada layanan terbuka. Selain itu, delegasi turut berpeluang melawat ke Bilik Tesis, yang menempatkan koleksi tesis terkini untuk rujukan akademik.
Lawatan diteruskan ke beberapa galeri istimewa di PRZS, termasuk Galeri Raja Zarith Sofiah yang menempatkan koleksi bahan bacaan sumbangan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor merangkap Canselor Keempat UTM. Delegasi turut dibawa ke Sudut Bacaan Tan Sri Salleh Mohd Noor, mantan Pro-Canselor UTM, yang mempamerkan koleksi peribadi sumbangan tokoh berkenaan.
Selain itu, delegasi turut menyaksikan demonstrasi penggunaan Sistem Peminjaman Layan Diri (SPLD), iaitu kemudahan peminjaman buku tanpa perlu berurusan di kaunter. Mereka juga dibawa melawat ke sudut Game Zone yang menempatkan peralatan permainan seperti PlayStation 5 (PS5).
Lawatan ini berakhir sekitar jam 11.30 pagi. Adalah diharapkan pengalaman pembelajaran sepanjang lawatan ini dapat memberikan nilai tambah kepada para pelajar serta menggalakkan penggunaan berterusan kemudahan dan perkhidmatan perpustakaan sebagai sokongan kepada perkembangan akademik mereka.