JOHOR BAHRU, 24 Julai 2025 – Jabatan Perpustakaan UTM, Universiti Teknologi Malaysia  telah menerima kunjungan penanda aras daripada delegasi Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Lawatan ini melibatkan seramai 27 peserta yang terdiri daripada dua (2) pustakawan dan 25 pembantu pustakawan. Kehadiran delegasi UMPSA di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) telah disambut oleh tiga (3) orang pustakawan JPUTM.

Aturcara lawatan bermula pada jam 9.30 pagi dengan sesi taklimat korporat yang disampaikan oleh Puan Haslinda binti Sabari. Dalam taklimat tersebut, beliau memperkenalkan latar belakang, visi, misi serta pencapaian JPUTM dalam menyokong agenda universiti. Peserta turut diberi penerangan mengenai peranan strategik perpustakaan dalam mendukung proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di UTM, seterusnya membuka ruang perbincangan antara kedua-dua pihak mengenai cabaran dan peluang dalam meningkatkan keberkesanan pengurusan perpustakaan.

Lawatan diteruskan dengan sesi taklimat program perkhidmatan perpustakaan oleh Puan Norsyuhada binti Shafie. Taklimat ini menekankan pelaksanaan program Citizen Science oleh JPUTM yang melibatkan penyertaan warga universiti dan komuniti setempat dalam aktiviti sains yang bersifat kolaboratif dengan menggunakan data sains terbuka. Delegasi UMPSA diberi gambaran jelas bagaimana Citizen Science boleh dijadikan salah satu mekanisme untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat serta memperkukuh jaringan antara perpustakaan dan pengguna.

Seterusnya, Encik Mohd Fahiezan bin Md Zan menyampaikan taklimat Transformasi Digital dan Aplikasi Artificial Intelligence (AI) di JPUTM dengan berkongsi pengalaman JPUTM dalam melaksanakan transformasi digital termasuk penggunaan teknologi AI bagi mempertingkatkan perkhidmatan, pengurusan koleksi, serta interaksi dengan pengguna perpustakaan. Perkongsian ini mendapat sambutan positif daripada delegasi UMPSA yang berminat untuk menerapkan pendekatan serupa di institusi mereka.

Selepas sesi taklimat, delegasi UMPSA dibawa melawat ke seluruh bangunan PRZS untuk memberi peluang kepada peserta melihat secara langsung kemudahan dan ruang yang moden, zon pembelajaran berkonsep terbuka, galeri, kemudahan teknologi, serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh PRZS. Lawatan ini diakhiri dengan sesi jamuan tengah hari.

Lawatan penanda aras ini telah membuka ruang untuk memperkukuh perkongsian ilmu serta membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk saling bertukar pandangan dan idea. Diharapkan hubungan kerjasama antara Perpustakaan UMPSA dan JPUTM akan terus berkembang melalui pelbagai inisiatif bersama pada masa hadapan.

Share this :