15 April 2025 – Program Khidmat Masyarakat Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) bersama-sama dengan Prof. Dr. Maketab Mohamed telah berjaya dijalankan pada 15 April 2025 dimana sebanyak 30 naskhah bahan bacaan pelbagai genre telah diserahkan kepada beliau sebagai simbolik sumbangan ilmu pengetahuan kepada masyarakat, khususnya luar bandar.
Buku-buku tersebut kemudiannya telah diserahkan secara rasmi kepada wakil Sekolah Kebangsaan Kampung Dusun, Kuala Berang, Hulu Terengganu oleh Prof. Dr. Maketab Mohamed pada 20 April 2025. Sumbangan buku-buku ini membawa mesej tentang kepentingan ilmu pengetahuan dan budaya membaca kepada pelajar sekolah rendah di kawasan tersebut.
Program ini turut menjadi inisiatif JPUTM dalam memperluas akses kepada sumber bacaan di kawasan luar bandar, di samping menyemai minat membaca dalam kalangan pelajar sejak di bangku sekolah. Sumbangan ini telah disambut dengan penuh penghargaan oleh pihak sekolah, yang menyanjung usaha JPUTM bersama Prof. Dr. Maketab dalam memperkasa ilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar.
Secara keseluruhan, program ini tidak hanya terbatas kepada pemberian sumbangan buku, malah turut membawa nilai sumbangan intelektual yang menjadi lambang hubungan erat antara universiti dan masyarakat. Inisiatif seumpama ini wajar diteruskan serta diperluas ke kawasan pedalaman dan terpencil, demi menyemarakkan budaya ilmu dan menyokong perkembangan pendidikan negara.