JOHOR BAHRU, 27 Ogos 2025 – Dalam usaha memperkukuh semangat patriotisme dan penghayatan warisan negara, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Bicara Karya Khas sempena sambutan kemerdekaan ke-68. Program anjuran Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) ini menampilkan tokoh tersohor negeri Johor, Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim bin Ramli, Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, sebagai karyawan tamu.

Karyawan Tamu dibawa melawat ke Pameran Citra UTM-Johor di foyer Perpustakaan Raja Zarith Sofiah

Bertempat di Ruang Terbuka Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), program yang dihadiri Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah binti Mat Darus, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli bin Md. Illias, dan Pengarah Penerbit UTM Press, Prof. Madya Dr. Siti Rahmah binti Awang, telah menghimpunkan warga UTM yang terdiri daripada mahasiswa, penyarah, penyelidik serta staf profesional dan pelaksana dalam satu raudhah ilmu yang mengetengahkan khazanah budaya dan protokol negeri Johor. Terlebih dahulu, tetamu kehormat telah dibawa melawati pameran Citra UTM-Johor yang terletak di foyer Perpustakaan Raja Zarith Sofiah.

Penghayatan Ilmu sebagai Landasan Patriotisme

Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Dr. Mohd Shafry menegaskan bahawa kemerdekaan tidak hanya diraikan melalui simbolik perarakan atau kibaran Jalur Gemilang, tetapi melalui pemeliharaan ilmu, warisan budaya dan jati diri bangsa. Makna kemerdekaan bukan sahaja sebagai kebebasan politik, tetapi juga sebagai lambang kematangan ilmu, kekuatan jati diri dan keutuhan warisan bangsa, katanya.

Ucapan perasmian oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim

Beliau turut menyeru khususnya kepada golongan mahasiswa agar terus memperkukuh jati diri serta semangat patriotisme melalui pembacaan dan penghayatan karya-karya ilmiah. Ujarnya, “Jika generasi terdahulu berjuang menuntut kebebasan dengan darah dan keringat, maka generasi kita hari ini mesti mempertahankan kemerdekaan dengan ilmu, pemikiran kritis dan penghayatan karya-karya agong yang tinggi nilainya”.

Karya, Protokol dan Identiti Negeri Johor

Kemuncak program ini adalah kupasan buku bertajuk “Protokol Johor” hasil karya Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim yang dikendalikan oleh moderator, Yang Berhormat Dato’ Dr. Kassim Thukiman, yang juga merupakan Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor. Dengan pengalaman lebih lima dekad dalam menguruskan institusi DiRaja Johor, beliau berkongsi perspektif tentang kepentingan protokol dalam membentuk identiti negeri, mengurus diplomasi dan memastikan kelangsungan warisan institusi beraja.

Karyawan Tamu UTM, Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim Ramli, membicarakan tentang buku “Protokol Johor”

Buku yang mengandungi 13 bab ini merangkumi aspek kefahaman asas berkaitan istilah protokol, pengurusan dan pengendalian majlis dan istiadat  rasmi, jenis-jenis pakaian dan etika berpakaian, bahasa dan persuratan istana hinggalah tanda kesatrian, dan protokol bendera.

“Protokol bukan sekadar aturan, tetapi cerminan jati diri, kedaulatan negeri dan sejarah bangsa. Memahami protokol bermakna memahami siapa kita sebagai rakyat Johor dan sebagai warga Malaysia,” – YB Dato’ Dr. Abdul Rahim.

Kupasan yang berlangsung dalam tempoh sejam ini memberi peluang kepada warga UTM untuk menelusuri dimensi baharu dalam memahami struktur sosial, adat dan tatacara rasmi negeri Johor, menjadikannya satu perbincangan yang kaya dengan nilai ilmiah dan praktikal. Program ini turut diserikan dengan sesi soal jawab bersama Karyawan Tamu, diikuti majlis menandatangani buku bersama beliau. Program ini juga dimeriahkan dengan pameran penerbitan oleh Penerbit UTM Press, yang merupakan penerbit rasmi buku “Protokol Johor”.

Sesi menandatangani buku bersama tetamu yang hadir

 UTM sebagai Peneraju Ilmu, Warisan dan Patriotisme

Sebahagian daripada usaha memelihara dan mendokumentasikan warisan intelektual negeri, Jabatan Perpustakaan UTM giat membangunkan Koleksi Khazanah Negeri Johor sebagai pusat rujukan utama yang menghimpunkan pelbagai bahan berkaitan sejarah, budaya, pembangunan dan tokoh-tokoh negeri Johor hasil daripada inisiatif strategik perpustakaan melalui kerjasama dengan agensi kerajaan, badan akademik serta individu.

Sesi bergambar bersama hadirin

Pembangunan koleksi ini bukan sahaja memperkukuh peranan UTM sebagai hab ilmu, malah membuka ruang penyelidikan dan rujukan yang lebih luas kepada para sarjana, penyelidik dan masyarakat, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi peneraju dalam pemeliharaan warisan intelektual Johor.

Melalui penganjuran program seperti Bicara Karya Khas, UTM bukan sahaja menyemarakkan sambutan kemerdekaan, tetapi turut memperkasa ekosistem ilmu, memperkaya pemahaman budaya dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab ilmu dan penyelidikan di rantau ini. Dengan penyertaan seluruh warga UTM, program ini menjadi bukti bahawa UTM berdiri sebagai pencetus wacana ilmiah yang mengangkat nilai kemerdekaan dalam konteks pembangunan akademik, inovasi dan pemeliharaan identiti bangsa.

Jika anda ingin mendapatkan buku “Protokol Johor” ini, pembelian boleh dilakukan secara dalam talian di https://shopee.com.my/utmpress

Share this :