12 Ogos 2025 – Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Jawatankuasa Kolej Mahasiswa, Kolej Siswa Jaya (KSJ), dan Majlis Perwakilan Pelajar telah menganjurkan siri pertama Library on Air @ KSJ: Sembang Siswa bertajuk Tokoh di Sebalik Nama – Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid. Sesi santai tetapi sarat dengan pengisian ini berlangsung pada jam 5.30 petang dan menghimpunkan mahasiswa yang ingin mengenali dengan lebih dekat tokoh yang pernah membawa nama UTM ke tahap yang amat disegani khususnya dalam bidang pengajian kejuruteraan.

Program ini diadakan dengan objektif utama iaitu untuk memupuk budaya ilmu dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan saranan Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim. Perpustakaan menyahut saranan tersebut dengan menganjurkan siri ini, sekali gus merealisasikan kerjasama erat antara pihak perpustakaan, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa, KSJ, dan Majlis Perwakilan Pelajar.

Sesi ini menampilkan dua panel jemputan iaitu Nur Adilah binti Adanan, pelajar Sarjana Pascasiswazah, dan Muhammad Harraz bin Shamsaidi, pelajar Diploma Kejuruteraan Awam. Moderator program ialah Nurul Anis binti Zairul Hisam, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPPKL). Perbincangan berfokus kepada buku Ainuddin: Pejuang Melayu yang Degil yang merakam perjalanan hidup dan kepimpinan Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid dalam membangunkan UTM. Antara legasi beliau termasuk usaha memperkukuh penerapan nilai-nilai Islam di peringkat universiti melalui subjek seperti Tamadun Islam.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Ketua Pustakawan UTMKL, Puan Nik Masriza, serta Pengetua Kolej Siswa Jaya, Dr Mohd Azlan bin Suhoot. Program ini mendapat sambutan hangat, khususnya daripada pelajar tahun pertama, dengan kehadiran hampir 150 orang peserta yang memenuhi ruang dewan.

Panel turut menekankan bagaimana perjuangan Tan Sri Ainuddin untuk meningkatkan nisbah pelajar Melayu dalam bidang teknikal daripada 10% kepada 90% dalam tempoh hanya lima tahun. Sepanjang 14 tahun beliau berkhidmat di UTM, pelbagai polisi yang diperkenalkan menerima tentangan, namun beliau tetap “degil” dalam erti kata positif – berpegang teguh kepada prinsip demi memartabatkan bangsa, agama, dan universiti.

Menariknya, sesi ini turut berkongsi kata-kata hikmah Tan Sri yang kekal relevan hingga kini:

“Belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah pergi.”

Ungkapan ini memberi mesej mendalam kepada para pelajar untuk sentiasa bersedia, bersikap proaktif, dan merebut peluang tanpa menunggu arahan. Panel berpesan supaya pelajar sentiasa berpegang teguh pada keputusan yang telah dibuat, terbuka terhadap pandangan baharu, merendah diri ketika menimba ilmu, dan membuat persediaan awal sebelum peluang hadir. Moderator menutup sesi dengan peringatan bahawa walaupun manusia tidak sempurna, usaha berterusan dan kesungguhan dalam menuntut ilmu akan mematangkan diri serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Turut dibawa semasa program ialah “Pop Up Library” iaitu troli mudah alih yang mempamerkan koleksi terpilih daripada Perpustakaan UTM. Inisiatif ini memudahkan pelajar meminjam bahan bacaan secara terus di lokasi, tanpa perlu ke perpustakaan utama. Pelajar berpeluang meneliti pelbagai jenis buku, daripada bahan akademik hingga bacaan santai, sekaligus menggalakkan amalan membaca dan penggunaan sumber perpustakaan secara optimum.

Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata kepada panel jemputan dan bergambar bersama para pelajar. Siri kedua Library on Air @ KSJ: Sembang Siswa dijadualkan berlangsung pada Oktober 2025, dengan harapan untuk terus menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan pelajar.

Share this :