KUALA LUMPUR, 23 September 2025 – Pameran Bermula di Sini: Jejak Merdeka dari Kampong Bharu anjuran Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah berjaya menarik perhatian warga kampus dengan membawa mereka menyelami sejarah perjuangan kemerdekaan tanah air.

Menyantuni Sejarah, Menghubungkan Generasi

Pameran yang berlangsung dari 9 September 2025 hingga 31 Disember 2025 ini memberi fokus kepada peranan Kampong Bharu sebagai pusat kebangkitan rakyat dalam menuntut kemerdekaan. Melalui paparan poster kronologi, galeri foto masyarakat setempat, serta maklumat seni bina, pengunjung berpeluang mengenali lebih dekat kisah perjuangan tokoh dan masyarakat setempat dalam menentang penjajah.

Pameran melalui pendekatan visual dan interaktif dipilih agar sejarah tidak lagi dianggap kaku. “Kami mahu pelajar dan staf merasakan pengalaman menghidupkan sejarah melalui visual, kuiz, dan ruang interaksi,” itu merupakan penegasan jawatankuasa pameran terlibat.

Aktiviti Interaktif Tarik Perhatian

Selain pameran, pengunjung turut berpeluang menyertai Kuiz Merdeka Snap & Smart, yang menggabungkan cabaran membaca poster, menjawab soalan pengetahuan sejarah, serta berkongsi gambar kreatif di media sosial. Lima pemenang dipilih berdasarkan ketepatan jawapan dan kreativiti penyertaan, dengan hadiah berupa peranti digital dan aksesori teknologi.

Bagi menambah keterujaan, pihak perpustakaan turut menyediakan Photo Booth Merdeka yang membolehkan warga kampus merakam kenangan bersama rakan-rakan dengan latar bertemakan patriotisme.

Menariknya, Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry bin Mohd. Rahim, serta Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin yang menjalankan fungsi Ketua Kampus Universiti Teknologi Malaysia (Cawangan Kuala Lumpur), turut merasai pengalaman bergambar di dalam photo booth tersebut. Kehadiran mereka memberi suntikan semangat kepada warga kampus untuk lebih menghargai warisan kemerdekaan.

Impak kepada Komuniti UTM

Pameran ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran sivik dan semangat patriotisme, malah mengukuhkan interaksi antara pelajar, staf akademik, dan komuniti perpustakaan. Sambutan yang diterima menunjukkan warga kampus berasa teruja kerana berpeluang memahami sejarah secara lebih dekat.

Memandangkan Kampong Bharu merupakan sebuah komuniti yang terletak di sekitar UTM Kuala Lumpur, pameran ini turut membuka ruang kepada warga kampus untuk memahami serta menghargai peranan kawasan tersebut dalam perjuangan kemerdekaan negara. Hal ini memberi nilai tambah khususnya kepada golongan muda, yang berkesempatan melihat sendiri kaitan rapat antara sejarah setempat dengan identiti nasional.

Patriotisme dalam Konteks Malaysia Madani

Walaupun pameran ini dianjurkan dalam skala kecil, keberhasilannya tetap terserlah melalui usaha memperkenalkan sejarah tempatan kepada warga kampus. Ia menegaskan peranan perpustakaan sebagai bukan sekadar pusat ilmu, tetapi juga sebagai pusat komuniti yang menyemai nilai perpaduan, memperkukuh jati diri nasional, serta menyalakan semangat kecintaan kepada tanah air.

Selaras dengan tema sambutan tahun ini, “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur terus komited melaksanakan program berimpak tinggi yang memberi peluang kepada warga kampus; khususnya generasi muda, untuk lebih memahami dan menghargai warisan perjuangan kemerdekaan. Usaha ini diharap dapat memupuk semangat kebersamaan, menyuburkan budaya saling menghormati, serta menyalurkan inspirasi untuk meneruskan legasi perjuangan negara dalam konteks Malaysia yang lebih inklusif dan progresif.

Share this :