JOHOR BAHRU, 2 September 2025 – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Pameran Citra UTM–Johor yang berlangsung di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Johor Bahru. Pameran ini diadakan bersempena Majlis Citra Karisma UTM 2025 yang telah berlangsung pada 18 Ogos 2025 di Dewan Sultan Iskandar, UTM, dengan Jabatan Perpustakaan bertindak sebagai Jawatankuasa Kecil Pameran di bawah Jawatankuasa Pelaksana Majlis Citra Karisma 2025.
Pameran ini juga telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Aznan bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor merangkap wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor bersempena Majlis Citra Karisma UTM 2025.
Pameran Citra UTM-Johor ini mengetengahkan perjalanan panjang sejarah UTM bermula daripada penubuhan Sekolah Teknik pada tahun 1904, seterusnya berkembang menjadi Maktab Teknik Kuala Lumpur, Institut Teknologi Kebangsaan, dan akhirnya muncul sebagai sebuah universiti penyelidikan terkemuka pada hari ini.
Antara pengisian menarik pameran termasuklah:
- Koleksi reprografi lukisan Canselor UTM sebagai simbol kepimpinan yang membentuk legasi UTM.
- Poster Naib Canselor UTM dan sejarah penghijrahan kampus UTM ke Skudai pada tahun 1985.
- Sembilan Bidang Keutamaan Penyelidikan (Signature Research Thrusts) yang menjadi tonggak teknologi dan inovasi UTM.
- Kerjasama strategik bersama kerajaan negeri, industri dan komuniti dalam memperkasa pembangunan sosioekonomi Johor.
- Inisiatif pemerkasaan komuniti melalui program Bangsa Johor Bahagia dan Program Pemindahan Ilmu.
- Peranan UTM dalam kecerdasan buatan (AI) dan inovasi lestari demi kesejahteraan masa depan.
Pameran ini bukan sahaja menyingkap warisan sejarah dan pencapaian universiti, malah menyerlahkan komitmen UTM untuk terus unggul sebagai hab pendidikan, penyelidikan dan inovasi yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.