Fotografi umpama sebuah medium yang berupaya memegunkan masa di satu-satu peristiwa daripada bergerak dan dilupakan manusia. Dengan keupayaan unik ini, ia menjadi medan untuk manusia saling merakam dan meraikan sesuatu peristiwa dengan fotografi. Kenangan-kenangan yang tercipta pada waktu itu tentu sahaja boleh menggamit memori yang mungkin telah lama hilang namun kembali menyinggah ingatan kita.

Atas semangat itu, Jabatan Perpustakaan UTM telah menganjurkan satu pameran fotografi yang membawa tajuk ‘Dari Sudut Mataku’. Pameran ini bukanlah semata-mata rakaman momen bersejarah, tetapi lebih kepada ekspresi seni para peminat fotografi yang merakam kehidupan mahasiswa di kampus UTM di samping memaparkan juga bangunan-bangunan ikonik di dalam UTM yang semestinya menjadi tumpuan para mahasiswa.

Pameran ini berlangsung di Aras 1, Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah UTM JB.

Keindahan dan keunikan kampus UTM dipamerkan di ruangan ini di mana ia adalah hasil bidikan fotografi warga universiti melalui Kelab Foto Staf UTM. Antara karya yang dipamerkan termasuklah rakaman landskap kampus UTM Johor Bahru dan Kuala Lumpur seperti bangunan pentadbiran, perpustakaan, kolej-kolej kediaman, suasana pembelajaran, serta kehidupan komuniti UTM dari pelbagai sudut pandang fotografi yang menarik dan berseni.

Pameran ini juga secara tidak langsung mengangkat dan menghargai bakat serta kreativiti warga UTM, khususnya staf-staf UTM yang meminati bidang fotografi serta memberi peluang kepada para pengunjung galeri pameran ini untuk turut sama menikmati keindahan kampus melalui seni fotografi. Jalinan komuniti warga kampus melalui apresiasi seni visual turut menjadi pemangkin kepada pameran ini.

Pameran yang bermula pada 1 Oktober 2025 ini dibuka kepada semua warga UTM serta orang awam yang berkunjung ke perpustakaan. Diharapkan pameran fotografi ini dapat menyemai rasa bangga terhadap identiti dan keindahan persekitaran kampus UTM serta menggalakkan lebih ramai warga universiti melibatkan diri dalam aktiviti berasaskan seni dan budaya.

 

Share this :