Teknologi dalam apa jua bidang telah mengalami perkembangan yang sangat signifikan dalam memacu keupayaan manusia untuk lebih cepat maju ke hadapan. Tidak terkecuali juga dalam bidang pendidikan di mana evolusi teknologi dalam bidang tersebut telah menyaksikan perubahan yang amat ketara dari segi kemudahan dari sudut keperluan alatan mengajar mahupun menyelidik. Bersempena dengan Hari Akademia Peringkat Universiti Teknologi Malaysia, Jabatan Perpustakaan UTM dengan sinergi bersama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) telah menganjurkan Pameran Evolusi Teknologi Pengajaran dan Penyelidikan yang berlangsung di Dewan Sri Perdana, Kolej Perdana, UTM Johor Bahru pada 16 Oktober 2025.
Artifak-artifak teknologi yang dipamerkan di pameran ini memberi gambaran jelas mengenai transformasi yang telah dialami oleh UTM dalam memastikan agar proses pengajaran dan penyelidikan adalah sejajar dengan perkembangan teknologi semasa. Semestinya sejumlah besar peruntukan kewangan perlu dilaburkan namun jika dilihat dari segi impaknya kepada kecekapan universiti dalam menyediakan segala kemudahan teknologi ini, ia adalah berbaloi dan wajar dihargai. Alatan seperti mesin taip berjenama Olympia (Model SGE A62), projektor overhead cabin, pembaca mikrofilem Allen Micro serta projektor dan paparan slaid Bell & Howell 799bx Ringmaster ini adalah sebahagian daripada artifak kekal yang semestinya menjadi kenangan dan kebanggaan kepada warga pendidik dan penyelidik di UTM.
Perjalanan evolusi ini turut ditelusuri melalui perkembangan medium rujukan penyelidikan. Pada peringkat awal, indeks sitasi seperti Science Citation Index dan Social Sciences Citation Index diterbitkan dalam bentuk jilid bercetak yang tebal. Ketika itu, para penyelidik perlu meneliti helaian demi helaian untuk menjejak rujukan dan mengukur impak penyelidikan . Proses ini merupakan suatu proses yang memakan masa serta memerlukan tahap ketelitian yang tinggi.
Kemunculan mikrofilem dan mikrofiş seterusnya satu ketika dahulu menjadi ‘game changer’ untuk medium penyimpanan maklumat yang bukan sahaja menjimatkan ruang fizikal malah memainkan peranan penting dalam pemeliharaan bahan penyelidikan seperti tesis bercetak yang mudah rosak. Walaupun penggunaannya memerlukan peralatan khas, namun inovasi ini menjadi pencetus awal kepada era pendigitalan maklumat.
Dunia teknologi kemudian menyaksikan lahirnya CD-ROM yang membantu mempercepatkan lagi proses pencarian maklumat, khususnya mengenai pencarian sitasi yang dapat dilakukan dengan hanya beberapa klik, sekaligus menjadikan penyelidikan lebih pantas, sistematik dan cekap.
Kini, dunia penyelidikan berada dalam era pangkalan data atas talian, di mana platform seperti Web of Science membolehkan penyelidik mengakses rekod penerbitan penyelidikan dengan pantas dan membolehkan jaringan kolaborasi penyelidikan yang merentas sempadan.
Kesimpulannya, pameran ini telah memberi pendedahan yang signifikan kepada para pengunjung mengenai usaha berterusan UTM dalam melaksanakan transformasi teknologi bagi keperluan warganya. Di samping itu, ia juga turut menjadi bukti kepada peranan Jabatan Perpustakaan UTM sebagai peneraju dalam menyokong ekosistem akademik dan penyelidikan universiti, selaras dengan aspirasi UTM untuk kekal sebagai institusi rujukan ilmu yang berdaya saing di peringkat global.