RABU, 15 Oktober 2025 – Era Transformasi Digital yang sedang ditempuhi Universiti Teknologi Malaysia semestinya memerlukan setiap jabatan untuk bersedia dengan sebarang hubungan kerjasama yang dilihat berpotensi untuk dimeterai bagi meningkatkan potensi pengetahuan dan juga peluang-peluang kemajuan terutamanya di bidang teknologi yang sentiasa terbuka dengan idea-idea inovasi baharu. Untuk itu, Bahagian Automasi dan Multimedia Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) telah mengadakan kunjungan lawatan muhibbah ke Jabatan UTMDigital.

JPUTM telah diwakili oleh Encik Mohd. Fuad Mohamed Yusof (Timbalan Ketua Pustakaan Bahagian Automasi dan Multimedia (AM)), Encik Yusrul Hisham Mohd. Yusof (Ketua Seksyen Automasi (AT)), Cik Aida Nadhirah Rodzuan dan juga Encik Mohammad Fikri Yusof.

Lawatan muhibbah ini menjadi medan perkenalan di antara staf di Bahagian Automasi dan Multimedia dengan pengurusan tertinggi Jabatan UTMDigital. Di samping itu, ia turut menjadi platform perbincangan yang mencari potensi kolaborasi di antara kedua-dua jabatan terutamanya dalam bidang automasi, sistem pengurusan perpustakaan serta ruang transformasi digital UTM yang boleh disertai JPUTM dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada pengguna.

Seksyen Automasi di bawah Bahagian Automasi dan Multimedia JPUTM terus mengorak langkah dalam memperkukuh peranannya sebagai teras utama transformasi digital di perpustakaan melalui pelbagai inisiatif dan projek berteraskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Pengarah UTMDigital, Encik Nik Kamal Izuddin Nik Ibrahim amat berbesar hati dan turut menyokong usaha yang sedang giat dijalankan oleh JPUTM ini. Beliau turut berkongsi perkembangan terkini berkaitan inisiatif pelan pembangunan digital universiti.

Sesi diteruskan dengan pengenalan kepada setiap jabatan di UTMDigital bagi memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai fungsi, peranan, dan tanggungjawab di setiap bahagian serta seksyen yang terlibat. Penerangan merangkumi carta organisasi, struktur pengurusan & sokongan, latar belakang seksyen, sejarah dan perkembangan aplikasi yang digunakan dari awal penubuhan sehingga kini.

Lawatan ini diakhiri dengan perbincangan santai dan sesi bertukar pendapat yang melambangkan semangat muhibbah serta komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan kerja antara jabatan di UTM.

Author : Encik Mohd Fuad bin Mohamed Yusof

Share this :