Kuala Lumpur, 7 Oktober 2025 – Jabatan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dengan kerjasama Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM KSJ) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah berjaya menganjurkan satu lagi siri program Library on Air@KSJ: Sembang Siswa yang telah diadakan di Kolej Siswa Jaya (KSJ), UTM Kuala Lumpur. Selepas sambutan yang menggalakkan untuk siri yang pertama pada bulan Ogos yang lalu, Siri kedua kali ini tampil dengan bahan bacaan yang berbeza dan menarik.

Seramai hampir 200 orang pelajar Diploma dan Sarjana Muda daripada pelbagai program yang menginap di Kolej Siswa Jaya telah menghadiri program ini dan menyaksikan dua panel jemputan yang juga merupakan pelajar UTM berkongsi ilmu kepada semua penonton melalui buku yang dipilih untuk sesi kali ini iaitu Atomic Habits karya James Clear.
Panel pertama adalah Saudari Mathumathi a/p Ambigabadi, pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) manakala panel kedua ialah Muhammad Farkhin bin Abd. Baser, pelajar Sarjana Muda dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI).

Menurut Mathumathi, buku ini menggunakan bahasa yang mudah difahami serta berjaya menarik minat beliau sejak halaman pertama. Katanya, buku ini amat membantu pembaca memahami bagaimana perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten mampu membawa kepada kejayaan besar dalam jangka panjang. Beliau menambah bahawa seseorang tidak perlu melakukan perubahan drastik untuk berjaya; sebaliknya, mulakan dengan tabiat kecil yang baik dan dilakukan secara berterusan.

Sementara itu, Muhammad Farkhin berkongsi tentang satu gaya hidup yang telah diamalkan sekian lama, iaitu menghadkan penggunaan media sosial kepada 10 minit sebelum menyiapkan tugasan. Menurutnya, amalan ini pada mulanya hanyalah cara untuk mengatur masa, namun lama-kelamaan ia membantu beliau dalam mendisiplinkan diri serta menyeimbangkan antara pelajaran dan hiburan.

Beliau turut menekankan bahawa Atomic Habits menekankan empat langkah utama dalam membentuk tabiat, iaitu isyarat (cue), keinginan (craving), tindak balas (response) dan ganjaran (reward). Dengan memahami keempat-empat komponen ini, seseorang dapat lebih mudah mengenal pasti dan membina tabiat positif dalam kehidupan seharian.
Sesi kali ini dikendalikan oleh Yasmin Hani Zailani, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang bertindak sebagai moderator. Beliau berjaya mencetuskan suasana interaktif dengan soalan-soalan yang mencabar pemikiran serta menggalakkan perkongsian daripada peserta.

Turut hadir memeriahkan sesi ialah Pengetua Kolej Siswa Jaya, Dr. Mohd Azlan bin Suhoot, yang menyatakan sokongan terhadap inisiatif sebegini. Menurut beliau, program seperti ini amat signifikan dalam membentuk budaya membaca dan memupuk semangat pembelajaran berterusan dalam kalangan pelajar KSJ.
Antara topik menarik yang turut dikupas dalam sesi ini ialah konsep “2 Minutes Rule” dan “Habit Stacking” seperti yang diperkenalkan oleh James Clear.

“2 Minutes Rule” menggalakkan seseorang memulakan tabiat baharu dengan langkah kecil yang boleh dilakukan dalam masa dua minit sahaja, supaya lebih mudah dikekalkan secara konsisten. “Habit Stacking” pula melibatkan teknik menyusun tabiat baharu dengan mengaitkannya kepada tabiat sedia ada contohnya, membaca dua muka surat buku selepas menyiapkan nota harian.
Kedua-dua strategi ini ditekankan sebagai pendekatan mudah tetapi berkesan dalam membentuk tabiat positif dan berdisiplin.

Moderator menutup sesi dengan menyeru agar setiap pelajar yang hadir membaca buku “Atomic Habits” sebagai permulaan kepada pembentukan diri yang lebih baik. Menurutnya, membina tabiat positif secara konsisten bukan sahaja memberi kesan kepada kejayaan akademik, tetapi juga membantu dalam pembangunan peribadi dan keseimbangan hidup.
Program Library on Air@KSJ: Sembang Siswa ini diharap dapat diteruskan sebagai medium perkongsian ilmu dan pengalaman dalam kalangan pelajar, sejajar dengan usaha Perpustakaan UTM Kuala Lumpur untuk melahirkan pelajar yang berdaya saing, berilmu dan praktikal dalam mencapai matlamat yang jelas.