Program Bicara Ikon Membaca Madani 2025 memulakan sirinya yang pertama pada 24 Jun 2025 dan berlangsung di Bilik Hyflex Classroom, Fakulti Komputeran UTMJB bersempena dengan Jelajah Kempen Membaca Madani anjuran Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) dan sinergi bersama Fakulti Komputeran, UTMJB. Siri ini juga turut disiarkan secara langsung melalui platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM bermula pada jam 10 pagi.
Panel jemputan untuk siri kali ini adalah terdiri daripada ikon-ikon muda yang wajar diangkat sebagai inspirasi dunia pembacaan mahasiswa khususnya di UTM. Ikon jemputan pertama ialah Saudari Izzati Athirah Isa yang merupakan pelajar tahun 3 serta turut menjawat jawatan sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Sains Komputer (PERSAKA), Fakulti Komputeran UTMJB. Manakala ikon jemputan kedua ialah saudara Muhammad Amirul Azfar bin Azhar, pelajar tahun 3 dan juga merupakan Timbalan Presiden Kelab Kaunseling dan Kerjaya. Di samping itu, beliau juga merupakan Timbalan Pengarah Liga Anak Negeri (LASKAR). Moderator bagi siri kali ini adalah saudara Muhammad Ilman Mohd Khairi.

Izzati Athirah Isa telah memilih bahan bacaan berjudul Time to Heal hasil karya oleh Norhafsah Hamid yang diterbitkan pada tahun 2022. Menurut pengulas, buku ini membawa naratif mengenai kehilangan dan jatuh bangun seseorang dengan menceritakan kisah pasangan kembar iaitu Hassan dan Hussin. Buku ini menceritakan bagaimana Hassan semasa usia mudanya telah menghadapi kemurungan apabila Hassan kehilangan Hussin (pasangan kembarnya) yang telah meninggal dunia disebabkan oleh penyakit kanser dan buku ini menceritakan bagaimana Hassan bangkit semula dalam kehidupannya daripada rasa kekecewaan atas kehilangan tersebut. Hal ini dikisahkan daripada pengalaman Hassan yang belajar tentang kematian pada usia muda. Peristiwa kematian itulah yang mendorong jiwanya untuk mengambil keputusan menceburi bidang perubatan dan berjaya dalam kehidupan. Pun begitu, hanya masa yang akan menentukan sama ada Hassan akan berdamai dengan takdir yang telah ditentukan atau tidak.

Panel kedua pula memilih buku bertajuk Letters For The Fragile Heart yang juga merupakan karya Puan Norhafsah binti Hamid dan diterbitkan pada tahun 2022. Buku ini ditulis sebagai sebuah koleksi tulisan yang memberi inspirasi kepada mereka yang sedang menghadapi dugaan hidup yang sering berpenghujung dengan kecewa dan patah hati.
Hati adalah makhluk ciptaan Tuhan yang cukup istimewa. Ia adalah salah satu bahagian anggota di dalam tubuh kita yang tidak dapat dilihat atau disentuh secara fizikal namun kewujudannya hadir daripada deria rasa yang sukar kita ungkapkan. Meskipun hati adalah salah satu organ yang melibatkan kesihatan fizikal manusia, namun di sebaliknya tersimpan seribu satu rasa yang tidak dapat kita sentuh secara material iaitu perasaan.
Kebanyakan manusia beranggapan dengan bertindak untuk bersikap keras hati adalah cara yang terbaik untuk mengelakkan diri dirundung kekecewaan dan kesedihan. Dan keadaan itu sering kita ertikan sebagai kuat dan cekal. Sedangkan pada hakikatnya hati yang rapuh dan luluh itulah waktu yang terbaik untuk kita bangkit menjadi lebih kuat dari yang sebelumnya. Justeru, buku ini adalah santapan rohani kepada hati untuk para pembacanya menemukan titik sentuhan yang sesuai di hati mereka untuk bangkit semula dari kesedihan.

Melalui dua bahan bacaan ini, kedua-dua ahli panel bersetuju menyatakan bahawa penulisnya meskipun menggunakan medium Bahasa Inggeris, ia masih boleh difahami oleh para pembaca dengan pengetahuan Bahasa Inggeris yang sederhana kerana ia digarap dengan tidak menggunakan laras bahasa yang kompleks atau terlalui puitis. Lebih menarik lagi, kedua-dua buku ini boleh dikategorikan sebagai karya motivasi yang memberi tumpuan kepada para pembaca yang sedang tercari-cari langkah dan rentak dalam memperbaiki diri serta menghadapi cabaran hidup yang pelbagai.
Penting untuk kita ketahui bahawa musibah, ujian dan bencana yang menimpa kita tidak seharusnya menjadikan kita manusia yang kecewa dan putus asa. Kerana dalam setiap musibah itu ada rahmat Tuhan yang tersembunyi yang tidak akan diketemui seandainya tidak dilapangkan hati untuk mencari permata hidup yang tersembunyi di dalam lumpur ujian hidup. Kesimpulannya, Letters for the Fragile Heart dan Time to Heal adalah bacaan yang amat sesuai dicerna dan dihayati oleh semua peringkat umur.