Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah menganjurkan Taklimat Chatbot Library Information Assistant (LIA) pada 14 November 2025 (Jumaat), bermula pukul 9.00 pagi hingga 10.30 pagi, yang dilaksanakan secara atas talian menerusi aplikasi Webex. Taklimat ini telah disampaikan oleh Encik Mohammad Fikri bin Yusof, Pustakawan, Bahagian Automasi dan Multimedia, Jabatan Perpustakaan UTM.
Penganjuran taklimat ini bertujuan memberikan pendedahan kepada staf, di samping memperkukuh pemahaman berkaitan fungsi serta pembangunan Chatbot LIA JPUTM sebagai medium sokongan perkhidmatan maklumat. Inisiatif ini berperanan membantu pelajar, staf serta pengguna perpustakaan lain mendapatkan maklumat yang diperlukan dengan lebih pantas, cekap dan berkesan.
Chatbot LIA diperkenalkan oleh JPUTM sebagai satu inisiatif digital baharu dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan maklumat kepada warga universiti. Pembangunannya adalah selari dengan aspirasi ke arah pembudayaan Perpustakaan Digital, selain mencerminkan adaptasi berterusan terhadap perkembangan teknologi digital yang semakin pesat dalam landskap perkhidmatan perpustakaan masa kini.

Selain itu, pengenalan Chatbot LIA bertujuan memudahkan akses kepada maklumat perpustakaan bukan sahaja untuk staf, malah turut melibatkan pelajar serta pengguna perpustakaan lain yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan dan sumber perpustakaan. LIA direka bentuk untuk menjawab pertanyaan melibatkan perkhidmatan perpustakaan, lokasi dan ketersediaan bahan rujukan, waktu operasi perpustakaan serta soalan-soalan lazim secara pantas dan tepat, tanpa memerlukan interaksi manual secara langsung dengan kakitangan perpustakaan.
Inisiatif ini bermula dengan pelaksanaan Librarian Online Chat menggunakan platform tawk.to yang dibangunkan pada Mac hingga April 2020 dan mula beroperasi secara langsung pada April 2020. Perkhidmatan ini berfungsi sebagai saluran komunikasi langsung antara pustakawan dan pengguna, dengan sebanyak 1,962 perbualan direkodkan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebelum ditamatkan pada Disember 2024.
Seiring dengan keperluan automasi serta kebolehcapaian maklumat yang lebih efisien, JPUTM seterusnya membangunkan Librarian Information Assistant (LIA) berasaskan platform Botpress dalam tempoh April 2022 hingga Julai 2023. Versi ini menggabungkan peranan pustakawan dan chatbot, dan digunakan secara langsung dari Julai 2023 hingga Oktober 2024 dengan 282 rekod perbualan direkodkan.
Fasa terkini pembangunan menyaksikan LIA dipertingkatkan melalui integrasi dengan platform Meta, bermula Disember 2023 dan beroperasi sepenuhnya sejak Oktober 2024 sehingga kini. Versi ini memfokuskan kepada fungsi chatbot sepenuhnya dengan menawarkan perkhidmatan maklumat yang lebih responsif dan mudah diakses. Sehingga Oktober 2025, sebanyak 1,134 perbualan telah direkodkan, sekali gus mencerminkan penerimaan positif pengguna terhadap perkhidmatan ini.

Melalui penganjuran taklimat ini, budaya penggunaan teknologi dalam kalangan staf dapat diperkasakan secara tidak langsung, seterusnya meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan perpustakaan kepada para pengguna.

Secara keseluruhan, evolusi pembangunan LIA mencerminkan komitmen berterusan JPUTM dalam memanfaatkan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat, memperluas capaian perkhidmatan perpustakaan serta menyokong ekosistem pembelajaran dan penyelidikan universiti secara lebih dinamik dan berdaya saing.