Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Staf 2025 sebagai usaha menghargai pencapaian, sumbangan, dan komitmen warga perpustakaan sepanjang tahun 2024. Program tahunan ini telah berlangsung pada 24 November 2025, bertempat di Hotel Le Grandeur Palm Resort, Senai, Johor Bahru.


Majlis yang mula diperkenalkan pada tahun 2018 ini dijenamakan semula sebagai Majlis Apresiasi Staf pada tahun 2021 dan kekal sebagai acara rasmi tahunan bagi mengiktiraf kecemerlangan warga JPUTM. Tahun ini, seramai 145 staf daripada Perpustakaan UTM Johor Bahru dan UTM Kuala Lumpur hadir bagi memeriahkan majlis yang bertemakan “Classic Black & White”, hasil undian tertinggi daripada warga perpustakaan.


Sebanyak 10 kategori anugerah telah disampaikan kepada 42 staf yang menunjukkan prestasi cemerlang, idea inovatif, dedikasi tinggi serta penglibatan aktif dalam komuniti. Antara kategori tersebut ialah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Kehadiran Cemerlang, Anugerah Inovasi, Anugerah Staf Berdedikasi, Anugerah Staf Inspirasi, dan Anugerah Olahragawan & Olahragawati. Satu anugerah baharu iaitu Anugerah Staf Prihatin turut diperkenalkan pada tahun ini bagi mengiktiraf warga kerja yang menunjukkan sikap kepedulian, empati dan keprihatinan yang tinggi terhadap rakan sekerja, pengguna perpustakaan serta persekitaran tempat kerja. Penghargaan ini selaras dengan objektif penganjuran majlis iaitu untuk mengiktiraf sumbangan staf, meningkatkan motivasi, serta menggalakkan idea kreatif dan inovatif dalam kalangan warga jabatan.


Majlis pada tahun ini turut diserikan dengan sesi penyampaian hadiah Pertandingan Mini Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), yang dianjurkan pada 13 November 2025 lepas bagi menggalakkan budaya penambahbaikan berterusan melalui idea baharu, kreativiti, serta keupayaan staf mengenal pasti penyelesaian inovatif dalam meningkatkan perkhidmatan perpustakaan. Kumpulan FCVISION daripada Seksyen Pengurusan Koleksi telah mendapat Tempat Pertama, manakala Kumpulan KILAT daripada Perpustakaan UTM KL telah mendapat Persembahan Terbaik. Penyertaan aktif dalam Mini KIK menjadi bukti komitmen warga JPUTM terhadap pemerkasaan inovasi dan kualiti kerja harian.

Selain sesi penyampaian anugerah, majlis turut dimeriahkan dengan aktiviti pertukaran hadiah antara staf bagi menyemarakkan suasana serta mengukuhkan hubungan sesama warga kerja. Cabutan bertuah juga turut diadakan sebagai tanda penghargaan tambahan kepada semua yang hadir. Seperti tahun-tahun sebelumnya, majlis apresiasi tidak lengkap tanpa penganugerahan King dan Queen. Bagi majlis kali ini, En. Mohd Yusri bin Osman dan Puan Azura Isma binti Daud telah dinobatkan sebagai King dan Queen.

Majlis Apresiasi Staf JPUTM 2025 merupakan wadah penting untuk memberi pengiktirafan yang sewajarnya, selaras dengan aspirasi JPUTM untuk memupuk budaya kerja cemerlang dan menyokong pembangunan bakat warga perpustakaan. Dengan penganjuran ini, JPUTM terus komited dalam usaha memperkukuh kesejahteraan warga kerja serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada seluruh komuniti universiti.
