Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah menganjurkan Pameran Dalam Lensa Mata: Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (1977–1989) yang diadakan di Galeri UTM, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. Pameran ini dianjurkan bersempena Majlis Konvokesyen ke-69 Universiti Teknologi Malaysia yang berlangsung dari 15 hingga 20 November 2025.

Pameran ini menampilkan pelbagai artifak bersejarah yang mendokumentasikan perjalanan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia dari tahun 1977 hingga 1989. Majlis Konvokesyen pertama Universiti Teknologi Malaysia telah berlangsung pada 3 Disember 1977 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Manakala, pada tahun 1989 pula, Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya istiadat tersebut diadakan di Dewan Sultan Iskandar, Skudai, Johor Bahru.

Antara koleksi artifak yang turut dipamerkan ialah tanjak Canselor, jubah Canselor, songkok graduan serta lapel konvokesyen. Pameran ini turut menampilkan poster petikan teks ucapan Tan Sri Dato’ Ainuddin bin Abdul Wahid, Naib Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia, serta poster mengenai Majlis Konvokesyen UTM yang pertama. Selain itu, dipamerkan juga poster berkenaan Keris Ganja Seiras Melela dan Logo Kebangsaan UTM yang merupakan sebahagian daripada sejarah penting universiti, di samping Digital Display Panel yang melengkapkan keseluruhan pameran.

Jabatan Perpustakaan UTM mengalu-alukan kehadiran seluruh warga kampus untuk mengunjungi pameran ini dan mengambil peluang melihat lebih dekat khazanah sejarah yang merakamkan evolusi Istiadat Konvokesyen UTM. Kehadiran para pengunjung bukan sahaja dapat menyemarakkan apresiasi terhadap sejarah universiti, malah turut memperkukuh pemahaman tentang warisan dan identiti UTM.

Share this :
UTM Open Day