Bersempena penganjuran EduVibes, Program Bicara Ikon Membaca Madani Siri 2 diadakan pada 28 Oktober 2025 (Selasa), jam 2.30 hingga 3.30 petang secara dalam talian melalui platform rasmi Youtube dan Facebook Perpustakaan UTM. Program anjuran Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Fakulti Pengurusan menjemput dua (2) orang panel daripada Fakulti Pengurusan, iaitu Saudari Nur Syahzahrina binti Yusli dan Saudara Abdul Khaliq bin Abdul Ghafor Omar. Moderator ialah Saudari Sufeanna binti Suhaimi. Program ini bertujuan memupuk budaya membaca dalam kalangan mahasiswa melalui perkongsian buku yang memberi inspirasi serta bermanfaat dari segi pembangunan diri dan kepimpinan.

Pengulas pertama, Saudara Abdul Khaliq mengulas buku Never Split the Difference, sebuah karya yang memfokuskan kepada seni rundingan berkesan melalui pendekatan komunikasi strategik dan pemahaman psikologi manusia. Menurut beliau, buku ini amat bermanfaat kepada mahasiswa, khususnya dalam melaksanakan tugasan berkumpulan yang memerlukan kemahiran berunding, kebolehan mendengar secara aktif serta keupayaan mempertahankan pendirian secara berhemah. Panel pertama turut merumuskan bahawa kemahiran insaniah seperti empati, komunikasi dan keberanian perlu dipupuk sejak peringkat awal bagi melahirkan mahasiswa yang berwawasan dan berkemampuan memimpin pada masa hadapan.

Sementara itu, Saudari Nur Syahzahrina pula mengulas buku Dare to Lead karya Brené Brown. Buku ini menyatakan untuk menjadi seorang pemimpin yang berwawasan dan berjaya. Seseorang individu perlu mengenal pasti kekuatan diri bagi, membina keyakinan dan keberanian sebagai pemimpin yang mampu mempengaruhi, membimbing dan memberikan arah tuju kepada orang lain melalui tindakan, integriti dan komunikasi berkesan. Pemimpin yang baik juga memiliki ciri-ciri seperti berwawasan, berempati, berani membuat keputusan, bertanggungjawab dan mampu memberi inspirasi kepada orang sekeliling.

Secara keseluruhan, diharapkan program ini dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang nilai kepimpinan, rundingan dan pembentukan karakter melalui bahan bacaan berkualiti.

Share this :
UTM Open Day