Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah mengadakan satu lawatan kerja ke Muzium Diraja Abu Bakar, Istana Besar Johor pada Selasa, 16 Disember 2025 bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang. Lawatan ini melibatkan seramai 22 orang pustakawan JPUTM dan 3 orang pegawai Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan). Lawatan ini diketuai oleh Ketua Pustakawan JPUTM, Puan Khairulbahiyah Yaakub yang bertujuan untuk mendapatkan pendedahan serta perkongsian amalan terbaik pengurusan muzium khususnya dari aspek perancangan, pembangunan, susun atur ruang pameran, keselamatan bangunan serta pengurusan artifak.

Delegasi JPUTM disambut dengan sesi taklimat oleh Kurator Muzium, Encik Mohd Azlan Hafiz bin Mohti diiringi Ketua-Ketua Bahagian Muzium Diraja Abu Bakar dan diikuti dengan sesi lawatan berpandu. Pihak JPUTM amat berbesar hati dengan kehadiran Pengarah Muzium Diraja Abu Bakar, Yang Berhormat Kolonel Dato’ Mohamed Perang bin Hj Musa yang juga merupakan Pengelola Bijaya DiRaja Johor, Jabatan DiRaja Johor. Sepanjang lawatan, delegasi telah diberi taklimat sejarah Muzium Diraja Abu Bakar oleh Kurator Muzium, diikuti sesi perbincangan bersama Ketua-Ketua Bahagian Muzium. Lawatan berpandu turut merangkumi beberapa lokasi utama seperti taman bunga, Dewan Cina, Istana Besar yang merangkumi ruang dan bilik bersejarah, Dewan Santapan, Lorong Khazanah dan banyak lagi.

Lawatan diakhiri dengan kunjungan ke Kedai Cenderamata Muzium Diraja Abu Bakar. Secara keseluruhan, lawatan ini memberi nilai tambah dan inspirasi kepada JPUTM dalam memperkukuh pengurusan ruang serta pembangunan galeri dan pameran ilmu pada masa hadapan, khususnya bagi menyokong perkhidmatan Muzium Warisan UTM yang sedang giat dibangunkan.

Share this :
UTM Open Day