Pada 8 Disember 2025 (Isnin), Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (UTM KL) berbesar hati menerima kunjungan delegasi Universitas PGRI Semarang, Indonesia seramai 18 orang pelajar bersama dua (2) orang pegawai pengiring. Lawatan yang bermula pada jam 2.15 petang ini telah disambut oleh staf Perpustakaan UTM KL dengan taklimat ringkas mengenai Jabatan Perpustakaan UTM yang disampaikan oleh Puan Sharifah Radhiah, Pustakawan Perpustakaan UTM KL.

Sepanjang sesi lawatan, para peserta berpeluang meninjau pelbagai kemudahan yang disediakan, antaranya ruang Galeri, ruang bacaan, bilik perbincangan, bilik karel selain meneroka koleksi bahan rujukan dan pembelajaran yang terdapat di perpustakaan. Pendedahan ini memberi gambaran menyeluruh tentang fungsi perpustakaan sebagai pusat sokongan akademik yang kondusif dan mesra pengguna.

Turut mencuri tumpuan adalah aktiviti interaksi budaya melalui pengenalan dan permainan tradisional seperti congkak, ceper, batu seremban, tating lawi, sepak raga dan ting ting. Aktiviti ini bukan sahaja mencetuskan suasana ceria dan santai, malah menjadi medium perkongsian budaya yang bermakna antara para peserta dan warga perpustakaan, sekali gus mengeratkan hubungan antarabangsa dalam suasana yang mesra.

Lawatan ini dimeriahkan lagi dengan penganjuran sesi kuiz dalam talian secara interaktif berpandukan maklumat daripada poster permainan tradisional. Program ini bertujuan menyemai rasa ingin tahu, menguji pengetahuan peserta serta memupuk penghargaan terhadap warisan budaya melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan kreatif.

Di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur, kami beraspirasi untuk terus berperanan bukan sekadar sebagai pusat sumber ilmu, tetapi sebagai medium pertemuan bermakna yang menghubungkan ilmu, budaya dan pembelajaran sepanjang hayat merentas sempadan.

Terima kasih diucapkan kepada pihak Universitas PGRI Semarang atas kunjungan yang amat bermakna ini. Semoga perkongsian yang terjalin memberi manfaat serta menjadi kenangan indah kepada semua yang terlibat.

Share this :
UTM Open Day