Program Scholars Chapter Siri 5/2025 telah berjaya dilaksanakan pada 11 Disember 2025 (Khamis) bertempat di Sudut Bacaan Tan Sri Salleh, Aras 2, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia. Program ini turut disiarkan secara langsung melalui Facebook dan YouTube UTM Library. Sesi perkongsian ilmu ini dimoderatorkan oleh Dr. Nor Amira Syairah Binti Zulkarnaini, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM.

Program ini dianjurkan sebagai platform wacana ilmu untuk memperkaya pemahaman komuniti akademik mengenai isu kepimpinan dan pembangunan insan. Edisi kali ini menumpukan kepada buku “Developing Leaders: Emotional Intelligence and Motivation” karya Prof. Madya Dr. Halimah Binti Mohd Yusof. Fokus buku ini adalah mengenai peranan kecerdasan emosi (EQ) dan motivasi dalam membentuk kepimpinan berkesan.

Program dimulakan dengan pengenalan oleh moderator yang menjelaskan sinopsis buku. Ditekankan bahawa kecerdasan emosi dan motivasi merupakan aspek penting bagi setiap pemimpin. Buku ini menjelaskan bagaimana latihan kompetensi emosi dapat meningkatkan persepsi emosi, pengurusan emosi diri dan orang lain, serta motivasi kendiri. Latihan ini juga membantu mengurangkan kebergantungan kepada motivasi luaran, sekaligus membangunkan kepimpinan yang lebih matang dan efektif.
Sesi utama melibatkan perbincangan dan soal jawab bersama Prof. Madya Dr. Halimah Binti Mohd Yusof. Antara topik yang dibincangkan adalah konsep kecerdasan emosi, yang merangkumi kesedaran diri, pengawalan diri, motivasi diri dan empati. Menurut beliau, EQ membolehkan pemimpin untuk membuat keputusan dengan lebih matang, berkomunikasi secara efektif, serta membina hubungan kerja yang harmoni.

Prof. Madya Dr. Halimah turut berkongsi inspirasi di sebalik penulisan buku ini, iaitu berdasarkan pemerhatian bahawa ramai pemimpin mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi tetapi kurang keupayaan mengurus emosi diri sendiri dan memahami motivasi orang bawahan. Buku ini bertujuan melahirkan pemimpin yang bukan sahaja cekap dari segi teknikal tetapi juga bijaksana dari segi emosi, stabil, empati dan manusiawi.
Perbincangan ini juga turut menyentuh mengenai kepentingan EQ dalam kepimpinan masa kini. Pemimpin ber-EQ tinggi mampu memahami dan mengurus emosi diri sendiri, membina hubungan positif dengan pasukan, meningkatkan motivasi dan prestasi pekerja, serta menangani konflik dan perubahan dengan lebih berkesan. Ciri pemimpin ber-EQ tinggi termasuk mempunyai kesedaran diri, pengurusan diri yang baik, empati, kemahiran sosial, motivasi diri, dan keupayaan menangani konflik.
Selain itu, Prof. Madya Dr. Halimah turut berkongsi bagaimana seorang ketua boleh mengaplikasikan EQ dalam tugasan harian, antaranya dengan mengawal reaksi diri, menjaga nada suara dan bahasa tubuh, bersangka baik, serta mendengar dengan penuh perhatian. Motivasi juga merupakan elemen penting bagi seorang pemimpin, termasuk motivasi intrinsik, ekstrinsik, sosial, pencapaian, dan transformasional, dengan motivasi intrinsik menjadi asas utama yang menggerakkan ketua dalam menghadapi cabaran.

Program turut menekankan kesan EQ terhadap motivasi pasukan. Pemimpin ber-EQ tinggi dapat membina kepercayaan, mengurus emosi pasukan dengan bijaksana, memberi dorongan dan inspirasi, menyokong pembangunan diri ahli pasukan, serta mewujudkan budaya kerja positif. Bagi pemimpin masa hadapan, EQ akan menjadi semakin kritikal kerana persekitaran kerja yang semakin kompleks, tenaga kerja pelbagai generasi dan budaya, serta keperluan memimpin berasaskan manusia.
Dalam era digital dan AI, EQ tetap relevan kerana teknologi tidak mampu menggantikan empati, penyelesaian konflik dan hubungan manusia yang berkualiti. EQ juga boleh dibangunkan melalui latihan berterusan, refleksi kendiri dan amalan harian. Tip praktikal untuk meningkatkan EQ termasuk mengurus ego, refleksi harian, mencatat jurnal emosi, mengenal pasti punca emosi dan menamakan emosi yang dialami.
Program diakhiri dengan ulasan penutup moderator yang menegaskan bahawa pemimpin yang cemerlang bukan sahaja mahir dari segi kemahiran teknikal tetapi juga memiliki keupayaan mengurus emosi. EQ merupakan asas dalam membina kepercayaan, hubungan positif dan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat. Secara keseluruhan, program ini berjaya menyampaikan ilmu praktikal dan konsep mendalam mengenai kepimpinan berasaskan EQ dan motivasi, memberi manfaat kepada peserta dalam pembangunan kepimpinan diri dan pasukan mereka.