Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBP WS) telah menganjurkan Program Telaah Siri 1/2025 di Ruang Terbuka, Aras 1, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah. Program ini menampilkan Sasterawan Negara ke-13, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Zurinah Hassan sebagai panel utama, dengan sesi wacana dipandu oleh Dr. Zulkifli Khair, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.


Program ini memberi peluang kepada peserta menelusuri pemikiran, nilai kemanusiaan dan kehalusan estetika sastera melalui kupasan buku bertajuk Sasterawan Negara Usman Awang. Buku Sasterawan Negara Usman Awang karya Dato’ Dr. Zurinah Hassan membentangkan perjalanan hidup dan sumbangan Sasterawan Negara ke-3 Usman Awang sebagai tokoh terkemuka dalam kesusasteraan Melayu moden. Buku ini bukan sahaja menyorot latar belakang peribadi Usman Awang, malah menekankan peranannya sebagai penyair, penulis dan pejuang bahasa yang menggunakan sastera sebagai medium menyuarakan kepentingan masyarakat serta memartabatkan khazanah sastera Melayu, dengan menonjolkan tema-tema kemanusiaan, keadilan sosial dan cinta tanah air.

Dalam sesi wacana, YBhg. Dato’ Dr. Zurinah Hassan menekankan peranan media sosial dan teknologi dalam memperluas capaian karya sastera kepada masyarakat:
“Media sosial dan teknologi membuka ruang luas untuk karya sastera dikenali masyarakat. Jika cara tradisional menuntut masa untuk menerima maklum balas, media sosial mempercepatkan pertemuan antara karya dan pembacanya. Banyak manfaat yang terhasil, asalkan keaslian terus dijaga dan plagiarisme dijauhi.”

Beliau turut berkongsi pandangan mengenai proses kreativiti:
“Proses kreativiti bermula daripada tercetusnya idea yang hadir dalam pelbagai cara. Kadangkala dengan hanya merenung alam seperti sekuntum bunga, ia juga mampu menghasilkan idea. Namun, dengan sokongan pengetahuan am, idea tersebut boleh diolah menjadi penulisan yang lebih bermakna dan bernilai.”

Program Telaah Siri 1/2025 menekankan kepentingan memartabatkan sastera Melayu sebagai tonggak pembinaan budaya intelektual dan jati diri bangsa. Melalui perbincangan yang pelbagai mengenai karya Sasterawan Negara Usman Awang, peserta bukan sahaja memperluas wawasan intelektual, malah turut diingatkan tentang nilai kemanusiaan, kreativiti dan tanggungjawab sosial yang menjadi nadi warisan sastera negara.

Program seperti ini membuktikan bahawa khazanah sastera Melayu bukan sahaja warisan budaya, tetapi juga panduan untuk memperkukuh identiti dan martabat bangsa dalam era globalisasi. Program kupasan buku karya Sasterawan Negara ini juga berjaya menghimpunkan warga universiti dan para ilmuwan daripada pelbagai latar usia dan generasi. Marilah kita bersama-sama memartabatkan usaha ini agar terus kekal relevan dan lestari.