Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Telaah Siri 2/2025 bertempat di Ruang Terbuka, Aras 1, Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah pada 31 Disember 2025 (Rabu) jam 9.30 pagi. Tetamu jemputan pada program istimewa ialah Yang Berusaha Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM dan moderator ialah Tuan Sayed Munawar Sayed Mustar. Program yang diadakan secara fizikal turut mendapat liputan secara dalam talian melalui platform rasmi Facebook dan Youtube perpustakaan.

Edisi kali ini memfokuskan kupasan karya Ainuddin Pejuang ‘Degil’ Melayu, hasil penulisan Fatini Yaacob, yang mengetengahkan pemikiran, prinsip serta perjuangan Allahyarham Tan Sri Dr. Ainuddin Abdul Wahid dalam landskap pendidikan tinggi dan kepimpinan Melayu. Kupasan tersebut telah dihuraikan secara mendalam oleh YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry, sekali gus memberikan perspektif kepimpinan berteraskan nilai, ketegasan prinsip dan keberanian membuat keputusan.

Program Telaah merupakan satu sesi bual bicara yang memberi fokus kepada bedah buku berkaitan pemikiran, falsafah, dasar awam, serta pembangunan ilmu. Inisiatif ini diilhamkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia sebagai usaha menyuburkan budaya keilmuan nasional melalui pembacaan, perbincangan, dan penghargaan terhadap karya-karya ilmiah. Objektif utama program ialah Menyemarakkan budaya membaca dan berfikir secara kritis, Menyediakan wadah wacana intelektual yang berstruktur dan berimpak, Menyokong agenda penyuburan budaya keilmuan nasional dan Memperkasa peranan perpustakaan sebagai pusat pemerkasaan ilmu

Dalam sesi wacana, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry turut menekankan semangat perjuangan dalam kalangan pemimpin:

“Seorang pemimpin perlu mempunyai pegangan perjuangan yang kukuh agar dapat memacu hala tuju organisasi. Tanpa perjuangan yang jelas, matlamat akan menjadi kabur dan tidak berarah.”

Satu sesi penyampaian Anugerah Peminjam Buku Terbanyak diadakan sebagai pengiktirafan kepada warga UTM yang aktif memanfaatkan koleksi perpustakaan. Penerima pertama bagi Kategori Akademik ialah Ar. Idr. Ts. Dr. Noraslinda binti Abdul Rahman dari Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dengan jumlah pinjaman sebanyak 97 buah buku. Seterusnya bagi Kategori Staf Pengurusan dan Profesional (PPP) ialah Encik Abd Halim bin Hassan dari Jabatan Perpustakaan UTM dengan 92 buah buku.

Sementara itu, Kategori Pelajar Pascasiswazah dengan rekod pinjaman tertinggi iaitu sebanyak 506 buah buku dimenangi oleh Huang Luyun dari Fakulti Pengurusan manakala Kategori Pelajar Prasiswazah telah disandang oleh Zhao Zhengyi dari Fakulti Komputeran dengan jumlah pinjaman sebanyak 172 buah buku.

Program turut diserikan dengan penyampaian cenderamata kepada fasilitator English Village sebagai penghargaan atas sumbangan mereka mengadakan aktiviti English Fun Quest @ English Village pada 29-30 Oktober bersempena penganjuran UTM Library EduVibe 2025. Penerima cenderamata ialah Puan Azura binti Sirri, Puan Awis Rumaisya Azizan, Puan Shazwani Abd Rahman, Puan Mawaddah binti Salleh, Encik Zaid bin Shamsuddin dan Encik Abid Zulfadhli bin Razali, yang kesemuanya merupakan Guru Bahasa dari Akademi Bahasa UTM.

Selain itu, simbolik penyerahan baucar He & She Coffee yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Zulkiflee bin Yusof, kepada pihak UTM untuk diagihkan kepada pelajar bagi menghargai usaha dan komitmen mereka dalam menyokong penganjuran program berteraskan ilmu dan pembudayaan membaca.

Secara keseluruhannya, Program Telaah Siri 2/2025 berjaya mencapai objektif penganjurannya sebagai platform wacana ilmu, perkongsian pemikiran serta pengiktirafan kepada warga universiti yang komited dalam memanfaatkan sumber ilmu perpustakaan, selaras dengan aspirasi UTM sebagai universiti terkemuka berteraskan nilai dan kecemerlangan akademik.

Share this :
UTM Open Day