Pada 12 Januari 2026 (Isnin), Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM telah menganjurkan Program Knowledge Sharing Siri 1/2026. Program yang berlangsung pada jam 10.30 pagi hingga 11.30 pagi ini telah diadakan di Ruang Lestari, Aras 3, Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Johor Bahru. Program perkongsian ilmu bertajuk “Penghayatan Bandar dan Sejarah Tempatan: Memahami Ruang, Nama dan Identiti Bandaraya Johor Bahru” diadakan bersempena Pameran Lakaran Bandar dan Augmented Reality Penghayatan Bandar di Malaysia – Johor Bahru dan George Town.

Program ini telah diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Dr. Kassim bin Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor, YBrs Pn. Khairulbahiyah Yaakob, Ketua Pustakawan Jabatan Perpustakaan UTM dan Profesor Madya Tpr. Dr. Siti Hajar Misnan, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, FABU UTM.
Program ini dimulakan dengan sesi perkongsian oleh panel pertama, Ts. Dr. Noor Aimran bin Samsudin, Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM. Beliau telah menyampaikan kupasan secara menyeluruh mengenai sejarah Bandaraya Johor Bahru, merangkumi perkembangan awal penubuhannya, perubahan ruang bandar, penamaan tempat serta evolusi identiti bandar dari masa lampau hingga ke era moden. Perkongsian ini memberi gambaran keseluruhan tentang bagaimana sejarah dan konteks tempat memainkan peranan penting dalam membentuk wajah dan karakter Johor Bahru pada hari ini.

Dalam pembentangannya, Ts. Dr. Noor Aimran turut mempersembahkan visual evolusi morfologi bandar Johor Bahru yang memperlihatkan perubahan susun atur dan perkembangan ruang bandar mengikut tempoh masa bermula1855 hingga kini. Bermula dengan penempatan awal yang tertumpu di kawasan tebing sungai (1855–1900), struktur bandar kemudiannya berkembang secara berperingkat sejajar dengan pembinaan rangkaian jalan utama dan aktiviti perdagangan (1900–1920).

Perkembangan seterusnya antara 1920 hingga 1940 dan 1940 hingga 1980 menunjukkan perluasan kawasan bandar yang lebih tersusun, dipengaruhi oleh pertumbuhan ekonomi, pentadbiran dan infrastruktur. Fasa 1980 hingga 2000 serta 2000 hingga kini pula memperlihatkan kepesatan urbanisasi dengan pembentukan pusat bandar moden, pembangunan bertingkat tinggi dan integrasi jaringan pengangkutan yang lebih kompleks. Visual ini membantu peserta memahami bagaimana sejarah, fungsi dan perancangan telah membentuk identiti fizikal Bandaraya Johor Bahru secara berperingkat.

Panel kedua, YM Tengku Tarmizi bin Tengku Aziz, Pustakawan Kanan, Perpustakaan Sultan Ismail telah menghuraikan pendekatan menelusuri sejarah Johor Bahru melalui identiti bandar. Beliau menekankan peranan elemen seperti penamaan tempat, bangunan bersejarah, landskap budaya serta koleksi dokumentasi sebagai sumber penting dalam memahami naratif sejarah dan pembentukan jati diri bandar. Perkongsian ini memperlihatkan bagaimana identiti Johor Bahru dapat dihayati melalui rekod, memori kolektif dan khazanah ilmu yang dipelihara oleh institusi perpustakaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat kronologi penamaan jalan yang menarik di Johor Bahru, yang mencerminkan sejarah, pengaruh pentadbiran serta latar budaya pada setiap fasa perkembangan bandar. Kronologi ini bukan sahaja membantu memahami perubahan landskap bandar, malah menjadi petunjuk penting dalam menelusuri evolusi identiti Johor Bahru dari masa ke masa.

Beliau seterusnya menerangkan cabaran utama dalam usaha mengekalkan bangunan lama, antaranya tekanan pembangunan bandar, perubahan fungsi ruang, kos penyelenggaraan yang tinggi serta kurangnya kesedaran terhadap nilai warisan. Menurut beliau, pemeliharaan bangunan bersejarah memerlukan keseimbangan antara pembangunan moden dan usaha mengekalkan identiti serta nilai sejarah bandar.
Beliau turut menekankan bahawa sejarah memainkan peranan yang amat penting dalam kajian, khususnya dalam memahami asal usul bahan visual seperti gambar-gambar lama serta menelusuri proses pertumbuhan dan perkembangan bandar yang bermula sejak peringkat awal. Pemahaman terhadap konteks sejarah ini dilihat sebagai asas penting dalam mendokumentasi, menilai dan memelihara warisan bandar untuk rujukan generasi akan datang.
Selain itu, satu sesi soal jawab juga telah diadakan bersama para pelajar yang hadir bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pertanyaan serta berkongsi pandangan berkaitan topik yang dibincangkan. Menjelang akhir program, satu sesi penyampaian cenderamata telah diadakan sebagai tanda penghargaan kepada Dekan FABU UTM, moderator dan dua orang panel jemputan.



Program perkongsian ilmu ini telah berjaya menekankan kefahaman terhadap sejarah, ruang bandar, penamaan tempat serta pembentukan identiti bandar sebagai elemen penting dalam penghayatan dan perancangan bandar yang mampan. Pendekatan lakaran bandar berasaskan teknologi Augmented Reality (AR) merupakan usaha inovatif yang menggabungkan elemen seni dan teknologi dalam mendokumentasi serta memelihara warisan bandar.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua panel, tetamu kehormat dan warga UTM yang hadir serta menjayakan program ini. Semoga inisiatif ini terus menyemai penghayatan dan apresiasi terhadap identiti bandar tempatan.