Pada 14 Januari 2026 (Rabu), Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PUTMKL) berbesar hati menerima kunjungan pertama tahun ini daripada SMA Budhi Warman II, Jakarta, Indonesia, yang dianggotai seramai 12 pelajar bersama tiga (3) guru pengiring. Lawatan ini dianjurkan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) bagi memberi peluang kepada pelajar mengenali suasana pembelajaran di universiti luar negara dan memperluaskan perspektif akademik mereka.

Rombongan tiba pada jam 3.45 petang dan disambut mesra oleh staf Perpustakaan UTMKL. Sebagai permulaan, para pelajar diberikan taklimat ringkas mengenai Jabatan Perpustakaan UTM oleh Puan Sharifah Radhiah Syed Azman, Pustakawan PUTMKL, yang menjelaskan pelbagai peranan perpustakaan dalam menyokong pembelajaran, penyelidikan, dan pembangunan akademik secara menyeluruh.

Sepanjang sesi lawatan, para pelajar dibawa meninjau kemudahan dan fasiliti utama yang disediakan di PUTMKL, termasuk ruang Galeri, ruang bacaan, Bilik Perbincangan dan Bilik Karel, Library XChange Hub, Game Zone serta koleksi bahan perpustakaan.

Lawatan ini bukan sahaja memberi peluang kepada para pelajar meninjau fizikal fasiliti, tetapi juga memahami peranan penting perpustakaan sebagai pusat ilmu dan budaya intelektual. Para pelajar didedahkan dengan cara perpustakaan menyokong pembelajaran bersepadu, penyelidikan berimpak tinggi, dan pembangunan akademik secara menyeluruh di peringkat universiti.

Perpustakaan UTM Kuala Lumpur berharap lawatan ini meninggalkan pengalaman bermakna dan inspirasi baharu kepada para pelajar. Diharapkan ia membuka perspektif lebih luas, memupuk minat dalam penyelidikan dan ilmu, serta memberi dorongan kepada mereka untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia pada masa hadapan.

PUTMKL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rombongan SMA Budhi Warman II atas kunjungan ini. Semoga pengalaman dan perkongsian yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaiknya, serta menjadi kenangan manis yang menyemarakkan semangat pembelajaran para pelajar.

Share this :
UTM Open Day