Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru telah menganjurkan Program Imbasan Majlis Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor 2026 yang berlangsung pada hari Isnin, 26 Januari 2026 di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. Bertemakan “Perubahan Struktural, Kesinambungan Kecemerlangan Universiti”, program imbasan ini menegaskan hala tuju strategik universiti yang selari dengan pelaksanaan UTM ASCEND 2030.

Program ini menampilkan tiga orang panel jemputan yang terdiri daripada ahli akademik, pentadbir universiti dan wakil mahasiswa, iaitu Prof. Dr. Mat Uzir bin Wahit, Dekan, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga UTM, Encik Mohd Najib bin Masroom, Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar UTM serta Saudara Muhammad Irfan Firdaus bin Md Fauzi, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UTM. Manakala moderator untuk sesi kali ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Muhammad Abd Hadi bin Bunyamin, Eksekutif Penyelidik UTM, Jabatan Canseleri UTM, yang memandu wacana secara terarah dan berfokus.

Dalam sesi perkongsian ini, Prof. Dr. Mat Uzir menegaskan bahawa reformasi struktur universiti tidak boleh dilihat dari sudut fizikal semata-mata, sebaliknya perlu bermula dengan perubahan minda. Menurut beliau, warga universiti perlu beralih daripada budaya sekadar menerima arahan kepada peranan baharu sebagai pemilik dan pemacu masa depan universiti. Peralihan ini menekankan penyelidikan yang memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat dan industri, serta pembangunan kokurikulum yang bukan sekadar berbentuk aktiviti, tetapi membentuk cara berfikir dan kematangan intelektual mahasiswa.

Beliau turut menekankan keperluan warga akademik untuk beranjak daripada kepakaran sedia ada kepada peranan sebagai sarjana yang lebih menyeluruh. Pensyarah perlu memahami kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI), dasar-dasar negara serta bersedia bekerjasama merentas fakulti dan bidang. “Ini menuntut minda baharu, seperti kesediaan untuk keluar daripada zon selesa, belajar semula, merendahkan ego dan melalui proses reskilling,” jelas beliau. Keupayaan untuk terus belajar semula inilah yang akan membentuk kecemerlangan baharu, dan pensyarah berperanan sebagai penjaga dan pemelihara ilmu, bukan sekadar penyampai kandungan.

Mengulas isu keseimbangan antara reformasi dan nilai, Prof. Dr. Mat Uzir menegaskan bahawa perubahan tidak boleh berdiri sendiri tanpa nilai. Reformasi, menurut beliau, perlu dipimpin oleh nilai, manakala nilai pula merupakan prasyarat kepada kelestarian. Dalam konteks ini, adab diumpamakan sebagai infrastruktur yang tidak kelihatan, namun menjadi asas kukuh kepada sistem akademik dan pentadbiran. Beliau turut menegaskan bahawa AI dan inovasi seharusnya membantu membina pemikiran dan kebijaksanaan, bukan menghakis nilai kemanusiaan, manakala kokurikulum masa hadapan perlu dirangka dengan kesedaran ini.

Dari sudut pentadbiran universiti, Encik Mohd Najib dalam perkongsiannya menegaskan bahawa kejayaan reformasi universiti amat bergantung kepada peranan staf pentadbiran sebagai sistem sokongan utama. Menurut beliau, perubahan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan melibatkan struktur, budaya kerja dan minda organisasi. Pentadbiran bukan sekadar pelaksana dasar, sebaliknya perlu benar-benar menyokong perubahan agar dapat berfungsi secara berkesan. Dalam masa yang sama, semua generasi dalam organisasi perlu kekal relevan dengan menguasai teknologi terkini bagi memastikan setiap perubahan yang dilaksanakan selari dengan keperluan semasa serta memanfaatkan teknologi yang tersedia.

Mewakili suara mahasiswa, Saudara Muhammad Irfan Firdaus, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UTM, menyentuh persepsi terhadap generasi muda yang sering dilabel sebagai “generasi manja”. Menurut beliau, cabaran utama ialah membentuk mahasiswa yang bertanggungjawab, bukan sekadar bergantung kepada kemudahan yang disediakan. Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan ASCEND 2030 merupakan titik penting kerana bukan sahaja menuntut penglibatan warga universiti, malah mahasiswa juga dilihat sebagai rakan strategik dalam menjayakan agenda universiti, dan bukan sekadar penerima manfaat.
