Pada 9 Februari 2026 (Isnin) Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Diskusi Intelektual Johor – “Bangsa Johor Permata Selatan”, yang telah berlangsung pada jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, bertempat di Ruang Terbuka, Aras 1, Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru. Program ini merupakan inisiatif wacana ilmiah untuk memperkukuh kefahaman terhadap identiti, jati diri dan hala tuju sosio‑budaya negeri Johor. Ia menghimpunkan intelektual, mahasiswa, pemimpin masyarakat dan pihak berkepentingan bagi membincangkan konsep Bangsa Johor dari perspektif sejarah, institusi dan pembangunan masyarakat kontemporari.

Diskusi ini menampilkan barisan panel yang terdiri daripada Yang Berhormat Dato’ Dr. Kassim bin Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, dan Yang Berusaha Dr. Zulkifli bin Hamisan @ Khair, Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM. Program dikendalikan oleh Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Mohd Azhar bin Abd Hamid, Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM.

Yang Berhormat Dato’ telah menggariskan beberapa ciri utama Bangsa Johor yang mencerminkan karakter sosial, sejarah serta falsafah kenegaraan negeri ini. Beliau menegaskan bahawa kehidupan beragama di Johor ditandai oleh pengiktirafan Islam sebagai agama negeri, di samping sikap saling menghormati serta keterbukaan terhadap perbezaan amalan agama dalam kalangan penganut lain. Pendekatan ini mencerminkan nilai toleransi dan keharmonian dalam konteks masyarakat majmuk.
Dari sudut pendidikan, beliau menjelaskan bahawa Johor merupakan negeri pertama yang mewajibkan pendidikan formal kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun pada tahun 1902, sebagai langkah awal dalam pembangunan modal insan. Inisiatif ini diikuti dengan pelaksanaan kewajipan pendidikan agama bagi orang Islam di Johor pada tahun 1918, yang menandakan keprihatinan awal terhadap pembinaan insan berilmu dan beradab.
Yang Berhormat Dato’ turut menekankan bahawa Bangsa Johor telah memiliki pemikiran yang bersifat global sejak awal abad ke-20. Hal ini dapat dilihat melalui peranan Sultan Abu Bakar yang kerap melakukan lawatan ke luar negara bagi memperluas jaringan diplomasi dan pertukaran ilmu. Malah, baginda turut mengadaptasi undang-undang Islam daripada Empayar Uthmaniyah di Turki semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid II untuk disesuaikan dan dilaksanakan dalam konteks pentadbiran Johor.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa bahasa Melayu telah diperkukuh sebagai bahasa kebangsaan melalui keputusan Persidangan Persatuan Bahasa dan Persuratan Melayu pada tahun 1956 di Johor Bahru, yang merupakan suatu inisiatif penting dalam memperkasa bahasa sebagai wahana identiti dan perpaduan negara.
Sebagai manifestasi sokongan terhadap pendidikan dan kebudayaan, Johor turut menubuhkan dua institusi penting, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka di Bukit Timbalan serta Maktab Perguruan di Bukit Senyum, yang kemudiannya dipindahkan ke Kuala Lumpur selepas negara mencapai kemerdekaan.
Penekanan terhadap sejarah dan warisan ini memperlihatkan bahawa Johor bukan sekadar sebuah negeri yang kaya dengan sejarah, malah berperanan sebagai pusat rujukan awal dalam pembinaan dasar pendidikan dan bahasa kebangsaan.

Selari dengan itu, Yang Berusaha Dr. Zulkifli bin Hamisan @ Khair telah mengemukakan satu kesimpulan kritikal berkaitan peranan naratif sejarah dan cabaran kemampanan pembangunan Johor. Beliau menjelaskan bahawa kewujudan pelbagai karya fiksyen berasaskan sejarah Johor merupakan medium penting dalam membantu masyarakat memahami peristiwa, nilai serta konteks sejarah negeri ini secara lebih dekat dan mendalam, sekali gus menjadikan sejarah lebih mudah diakses oleh generasi muda.
Selain itu, Dr. Zulkifli turut menekankan isu kelestarian pembangunan negeri Johor dengan menyatakan bahawa banyak pencapaian Johor di peringkat nasional dan global berlaku secara berkala. Keadaan ini menuntut pemikiran strategik dalam kalangan generasi muda bagi memastikan kecemerlangan yang dicapai bukan sekadar bersifat simbolik, sebaliknya dapat diteruskan secara berpanjangan dan mampan.

Program turut membincangkan cabaran semasa, termasuk globalisasi, perubahan struktur sosial dan pengaruh media digital, yang mempengaruhi pembinaan identiti Bangsa Johor. Panel menekankan bahawa mahasiswa perlu dibekalkan dengan pemikiran kritikal, kefahaman sejarah dan nilai kenegaraan untuk menjadi agen pemerkasaan identiti negeri di masa hadapan.



Program ditutup dengan pantun oleh moderator, Yang Berusaha Prof Madya Dr. Mohd Azhar bin Abd Hamid, sebagai simbol semangat perjuangan dan kebanggaan negeri:
“Laksamana mengapai keris di tangan,
Berjuang demi nusa tercinta,
Bangsa Johor jadi pengangan,
Permata Selatan kebanggaan kita.”
Pantun ini menekankan keberanian, warisan sejarah dan aspirasi generasi muda untuk mengekalkan identiti dan kecemerlangan Johor.

Kesimpulannya, Diskusi Intelektual Johor – Bangsa Johor Permata Selatan telah berjaya menghubungkan dimensi sejarah, pemikiran strategik dan cabaran kontemporari secara holistik. Penganjuran program seumpama ini wajar diteruskan secara berstruktur dan berterusan bagi memastikan nilai‑nilai Bangsa Johor difahami, dihayati dan diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda sebagai pewaris masa depan negeri.