KUALA LUMPUR, 4 Februari – Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah menerima kunjungan rasmi daripada YBrs. Prof. Dr. Fauziah binti Sh. Ahmad, Ketua Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur pada petang Rabu yang lalu. Kehadiran beliau ke Wisdom Lounge disambut oleh Ketua Perpustakaan UTM Kuala Lumpur, Puan Nik Masriza Zakaria, bersama barisan pengurusan tertinggi perpustakaan bagi membincangkan hala tuju strategik dalam mendepani cabaran pendidikan semasa.

Dalam sesi perbincangan yang turut dihadiri oleh Ketua Pentadbiran UTM Kuala Lumpur, Encik Nasir Osman, Puan Nik Masriza telah membentangkan pelbagai inisiatif dan perancangan strategik yang sedang dilaksanakan. Fokus utama pembentangan tersebut menjurus kepada usaha perpustakaan dalam menyokong penuh pencapaian agenda UTM ASCEND menerusi pemerkasaan pembudayaan ilmu, penyediaan platform pembelajaran berterusan, serta pengukuhan sokongan akademik yang holistik kepada seluruh warga kampus.

Prof. Dr. Fauziah dalam ucapan balasnya telah berkongsi pandangan dan input bermakna mengenai kepentingan menghidupkan budaya ilmu di peringkat akar umbi. Beliau menekankan perlunya transformasi dalam menjadikan amalan membaca lebih menarik, relevan, dan berimpak tinggi, terutamanya kepada golongan pelajar. Menurut beliau, pembacaan tidak seharusnya dihadkan sebagai aktiviti akademik semata-mata, sebaliknya perlu diangkat sebagai pemangkin dalam membentuk keyakinan diri, meningkatkan keupayaan berkomunikasi, serta menjana kualiti pemikiran yang kritis bagi setiap individu.

Sesi kunjungan diteruskan dengan lawatan ke Library XChange Hub, sebuah ruang pembelajaran kolaboratif yang direka khusus untuk menggalakkan interaksi antara pelajar. Lawatan ini memberi peluang kepada Prof. Dr. Fauziah untuk melihat sendiri inisiatif berasaskan komuniti ilmu yang disediakan serta berinteraksi secara langsung dengan para pelajar yang sedang memanfaatkan kemudahan tersebut. Keberadaan ruang seperti ini membuktikan komitmen perpustakaan dalam menyediakan ekosistem yang kondusif untuk pembangunan intelek warga UTMKL.

Pihak Perpustakaan UTM Kuala Lumpur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian YBrs. Prof. Dr. Fauziah binti Sh. Ahmad meluangkan masa untuk mengadakan kunjungan ini. Adalah diharapkan agar kerjasama strategik yang terjalin ini dapat terus diperkasakan demi menyokong agenda pembudayaan ilmu universiti serta memastikan aspirasi Universiti Teknologi Malaysia untuk melahirkan modal insan yang cemerlang terus tercapai.

Share this :
UTM Open Day