Pada 26 Februari 2026, Program BookSharing @UTMKL 2026/Siri 1 telah berlangsung dengan jayanya sebagai pembuka tirai program ilmu tahun 2026 bagi Jabatan Perpustakaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur.
Program ini menampilkan dua orang penyampai yang berkongsi ulasan dan kupasan menarik mengenai bahan bacaan pilihan masing-masing. Sesi ini telah dikendalikan oleh Puan Norfamieza Binti Mohamed Fayli, Pembantu Pustakawan, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

Perkongsian pertama disampaikan oleh Cik Nik Nurul Akmal Binti Nik Mat Kamil, Guru Bahasa dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, yang mengulas buku “You Can Be the Happiest Woman in the World” karya Dr. ‘Aid al-Qarni. Buku motivasi berteraskan nilai Islam ini menekankan kepentingan iman, kesabaran, reda dan syukur dalam menghadapi cabaran hidup wanita.
Buku ini merupakan karya motivasi berteraskan nilai-nilai Islam yang ditujukan khusus kepada wanita. Penulis menghimpunkan nasihat yang menenangkan jiwa, ayat-ayat al-Quran, hadis, kisah wanita solehah serta refleksi kehidupan bagi membantu wanita menangani tekanan emosi dan mental.
Menurut Cik Nik Nurul Akmal, buku ini bukan sahaja membincangkan keletihan fizikal, malah menyentuh kepenatan emosi yang sering dialami wanita dalam menggalas peranan sebagai anak, isteri, ibu dan pekerja. Antara intipati utama yang diketengahkan ialah kepentingan memperkukuh iman, bersabar dalam menghadapi ujian, reda terhadap ketentuan Ilahi serta mengamalkan sikap syukur sebagai kunci kebahagiaan.

Secara keseluruhannya, pengajaran utama daripada perkongsian ini ialah kebahagiaan bermula daripada cara kita berfikir. Fokus yang berlebihan terhadap perkara negatif akan mempengaruhi emosi, justeru kita perlu melatih diri untuk berfikiran positif dan sentiasa bersyukur. Hubungan dengan Allah serta hubungan sesama manusia juga perlu dipelihara kerana kedua-duanya merupakan asas penting dalam membentuk kehidupan yang lebih tenang dan bahagia.
Perkongsian diteruskan oleh Cik Nadirah Binti Jamal Abd Nasir, Penolong Pegawai Keselamatan dari Seksyen Keselamatan, yang berkongsi bukunya bertajuk “The Art of War” yang merupakan karya agung yang ditulis kira-kira 2,500 tahun lalu oleh seorang jeneral dan ahli strategi ketenteraan terkenal, Sun Tzu. Kehebatan pemikiran beliau dalam bidang peperangan menjadikan buku ini kekal relevan hingga ke hari ini, malah telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan diterbitkan dalam banyak edisi di seluruh dunia.

The Art of War mengandungi 13 bab yang menghuraikan strategi peperangan secara menyeluruh, dimulai dengan kepentingan perancangan rapi, memahami kekuatan dan kelemahan, mengumpul maklumat tepat serta menyusun strategi sebelum bertindak. Sun Tzu menegaskan bahawa kemenangan lahir daripada strategi yang teliti, bukan tindakan terburu-buru.
Walaupun membicarakan peperangan, beliau sebenarnya tidak menggalakkannya kerana peperangan itu mahal dan merugikan. Kemenangan terbaik, menurutnya, ialah kemenangan tanpa perlu berperang.

Dalam perkongsian tersebut, beliau menekankan bahawa prinsip Sun Tzu di tempat kerja bermula dengan perancangan yang teliti sebelum bertindak, termasuk menilai objektif, risiko dan sumber yang ada. Organisasi juga perlu memastikan kedudukan mereka kukuh sebelum melaksanakan sesuatu strategi, serta memahami kekuatan dan kelemahan diri agar keputusan yang dibuat lebih tepat dan berkesan.
Kesimpulannya, penulis berpandangan The Art of War dilihat sebagai panduan strategi hidup yang menekankan perancangan rapi, tindakan bijak serta keputusan berasaskan maklumat dan data. Dengan penyampaian yang santai dan petikan yang menarik, buku ini sesuai dijadikan rujukan dalam aspek kepimpinan serta pengurusan diri dan organisasi.