Pada 7 Februari 2026 (Sabtu), Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan daripada Sekolah Menengah Teknik Melaka dalam satu program lawatan sambil belajar. Lawatan tersebut melibatkan seramai 36 orang pelajar bersama tujuh (7) orang guru pengiring dan berlangsung dari jam 2.30 petang hingga 4.00 petang.
Program ini dianjurkan bagi memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai persekitaran pembelajaran di institusi pengajian tinggi, di samping memperkenalkan kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan oleh perpustakaan universiti. Sepanjang lawatan berlangsung, para peserta telah dibawa melawat ke beberapa ruang utama di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), antaranya kaunter sirkulasi, ruang bacaan, koleksi bahan perpustakaan, Galeri Raja Zarith Sofiah serta Galeri Tokoh Penyelidik.

Melalui program ini, para pelajar berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat kemudahan dan persekitaran pembelajaran yang disediakan oleh perpustakaan universiti, selain memahami peranan PRZS sebagai pusat rujukan ilmu, penyelidikan dan sokongan pembelajaran kepada warga universiti.

Diharapkan lawatan ini dapat memupuk minat pelajar terhadap budaya pembelajaran kendiri, di samping memperluas perspektif mereka mengenai kepentingan ilmu pengetahuan serta memberi gambaran awal tentang suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi. Program seumpama ini juga diharapkan dapat memberi inspirasi kepada para pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.