Pada 5 Mac (Khamis), Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia telah menganjurkan Program Read & Relax Siri 2/2026. Sesi ini dimoderatorkan oleh Arishma Jaishree, Presiden Post Graduate Student Society UTM dan menampilkan dua orang panel jemputan yang berkongsi bahan bacaan pilihan mereka, iaitu Radin Ahmad Taufiq Salikin bin Izzadin, pelajar pascasiswazah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) yang juga merupakan Presiden Post Graduate Student Society FSSH, serta Shantini Anapurampuan Niyandi, pelajar PhD dalam bidang Educational Psychology dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) yang turut memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Perhubungan Awam PGSS FEST.

Panel pertama, Radin Ahmad Taufiq Salikin bin Izzadin, telah berkongsi mengenai buku bertajuk The Dip karya Seth Godin. Buku ini membincangkan tentang bagaimana seseorang individu perlu mengetahui bila masa yang sesuai untuk terus berusaha dan bila masa yang sesuai untuk berhenti dalam sesuatu usaha atau perjalanan kerjaya.

Menurut beliau, buku ini memperkenalkan tiga konsep utama iaitu The Dip, Cul-de-sac dan The Cliff. Konsep The Dip merujuk kepada fasa sukar dalam sesuatu perjalanan di mana seseorang perlu melalui cabaran, tekanan dan ketidakpastian sebelum mencapai kejayaan. Cul-de-sac pula merujuk kepada situasi di mana seseorang berada dalam laluan yang tidak membawa kepada kemajuan dan memerlukan keputusan untuk berhenti secara strategik. Manakala The Cliff menggambarkan keadaan di mana seseorang terus berada dalam sesuatu keadaan yang tidak memberikan perkembangan sehingga akhirnya membawa kepada kejatuhan atau kekecewaan.

Melalui buku ini, panel menekankan bahawa pembaca perlu menilai sumber yang dimiliki seperti masa, tenaga, kemahiran dan komitmen sebelum membuat keputusan untuk meneruskan sesuatu usaha. Beliau turut berkongsi bahawa konsep dalam buku ini memberi perspektif baharu dalam perjalanan beliau sebagai pelajar PhD serta dalam kerjaya beliau sebagai pegawai pentadbiran yang terlibat dalam bidang penyelidikan dan inovasi. Buku ini secara tidak langsung membantu beliau menilai semula strategi serta hala tuju kerjaya bagi memastikan usaha yang dilakukan memberikan manfaat dalam jangka masa panjang.

 

Dalam perkongsian seterusnya, panel kedua, Shantini Anapurampuan Niyandi, telah membincangkan buku Atomic Habits karya James Clear. Beliau menjelaskan bahawa buku ini memfokuskan kepada konsep pembentukan tabiat kecil yang konsisten bagi menghasilkan perubahan besar dalam jangka masa panjang. Buku ini menekankan bahawa kejayaan bukanlah hasil daripada satu perubahan besar secara tiba-tiba, sebaliknya merupakan hasil daripada pengumpulan tindakan kecil yang dilakukan secara berterusan.

Panel turut menghuraikan empat prinsip utama perubahan tingkah laku yang diketengahkan dalam buku ini, iaitu Make it Obvious, Make it Attractive, Make it Easy dan Make it Satisfying. Prinsip-prinsip ini boleh digunakan dalam kehidupan seharian bagi membina tabiat positif dan mengurangkan tabiat negatif.

Beliau turut mengaitkan konsep ini dengan pengalaman sebagai pelajar pascasiswazah, khususnya dalam pengurusan pembacaan literatur dan penulisan tesis. Sebagai contoh, pelajar boleh membina tabiat membaca secara konsisten dengan menyusun artikel kajian secara sistematik menggunakan matriks literatur. Selain itu, teknik seperti peraturan dua minit juga boleh membantu pelajar memulakan penulisan secara kecil tetapi berterusan. Dengan menulis secara konsisten walaupun dalam jumlah yang kecil setiap hari, pelajar akhirnya mampu menghasilkan penulisan yang lengkap dalam tempoh tertentu.

Panel juga berkongsi bahawa konsep peningkatan kecil sebanyak satu peratus setiap hari mampu memberikan perubahan yang besar dalam jangka masa panjang. Hal ini kerana tindakan kecil yang konsisten akan terkumpul dari semasa ke semasa dan akhirnya menghasilkan kemajuan yang signifikan. Salah satu mesej penting yang diketengahkan dalam buku ini ialah “You do not rise to the level of your goals, you fall to the level of your systems,” yang menekankan kepentingan membina sistem dan rutin yang menyokong produktiviti.

Secara keseluruhannya, kedua-dua buku yang dikongsikan dalam sesi ini memberikan perspektif yang berbeza namun saling melengkapi dalam membantu pelajar memahami kepentingan ketekunan, disiplin serta strategi dalam mencapai kejayaan akademik dan pembangunan diri. Program Read & Relax Seri 2/2026 ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada para peserta untuk menjadikan aktiviti membaca sebagai salah satu medium pembelajaran berterusan dalam kehidupan seharian.

Share this :
UTM Open Day