11 Mac 2026 (Rabu) – Bersempena Ramadan dan menjelang Syawal, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan Program Perkongsian Ilmu Ramadan bertajuk “Dari Kurma ke Ketupat, Jom Makan Secara Sihat!” yang disampaikan oleh Puan Norashikin binti Abd Mutalip Raoh, Pegawai Dietetik, Klinik Kesihatan Bandar Mentakab, Temerloh Pahang.  Program selama satu jam ini disiarkan secara langsung melalui Facebook UTM Library Kuala Lumpur bersama moderator, Encik Mohd Azalan Mohd Lazim.

Sesi dimulakan dengan pengenalan penceramah iaitu Puan Norashikin yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Dietetik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan telah memulakan kerjaya sebagai Pegawai Dietetik di Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2019, dengan pengalaman sekitar tujuh tahun dalam bidang dietetik. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pembantu Penyelidik di Institut Kesihatan Umum (IKU) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Dalam perkongsian tersebut, Puan Norashikin menjelaskan bahawa puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga memberi peluang kepada sistem pencernaan untuk berehat serta menjadi waktu untuk “reset” gaya hidup ke arah yang lebih sihat. Dengan pemakanan yang betul, Ramadan boleh menjadi permulaan kepada amalan gaya hidup sihat yang berterusan hingga Syawal dan seterusnya.

Beliau turut menyentuh isu kenaikan berat badan ketika Ramadan yang sering berlaku akibat tabiat pemakanan tidak terkawal. Sahur diibaratkan sebagai “power bank” tubuh kerana membekalkan tenaga sepanjang hari, manakala meninggalkan sahur boleh menyebabkan cepat lapar dan kurang bertenaga. Ketika berbuka puasa, beliau menyarankan agar dimulakan dengan kurma dan air, diikuti hidangan utama secara sederhana bagi mengelakkan fenomena “balas dendam makan”. Pengambilan moreh yang ringan serta air yang mencukupi antara waktu berbuka hingga sahur juga ditekankan.

Menjelang Syawal pula, orang ramai sering berdepan fenomena “yo-yo diet” apabila berat badan kembali meningkat akibat pengambilan juadah tinggi kalori. Oleh itu, beliau mencadangkan beberapa strategi seperti mengawal saiz hidangan, menghadkan pengambilan kuih raya, serta mengamalkan Puasa Enam bagi membantu mengawal selera makan.

Di samping itu, beliau menegaskan kepentingan mengekalkan gaya hidup aktif dengan sekurang-kurangnya 30 minit senaman selama lima hingga enam hari seminggu. Disiplin yang dibina sepanjang Ramadan diharapkan dapat diteruskan sebagai amalan gaya hidup sihat sepanjang tahun. Sebagai penutup, Puan Norashikin menegaskan bahawa mengawal pemakanan bukan bermaksud menolak rezeki, sebaliknya sebagai cara menghargai dan menjaga kesihatan tubuh badan yang diamanahkan kepada kita. Semoga perkongsian ini memberi manfaat dalam membantu masyarakat mengamalkan pemakanan yang lebih sihat sepanjang Ramadan dan Syawal.

Share this :
UTM Open Day