Pada 12 Mac 2026 (Khamis), Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Read & Relax Siri 3/2026 yang disiarkan secara langsung melalui Facebook dan YouTube rasmi Perpustakaan UTM. Program ini berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Bagi siri kali ini, dua orang panel jemputan telah dijemput untuk mengulas buku pilihan mereka. Panel pertama ialah Saudari Puteri Durrany Haqmar binti Mohd Zahid, pelajar latihan industri di Jabatan Perpustakaan UTM. Beliau telah berkongsi ulasan mengenai novel Yang Paling Patah Antara Kita karya Ainul Farihah. Panel kedua pula ialah Saudari Yasmin Ellysha binti Khairulnizam, Pembantu Pustakawan, Jabatan Perpustakaan UTM mengulas buku motivasi Good Vibes, Good Life: How Self-Love Is the Key to Unlocking Your Greatness karya Vex King. Sesi ini dikendalikan oleh moderator, Saudari Siti Norfatin Binti Ramli, Pembantu Pustakawan, Jabatan Perpustakaan UTM.

Saudari Puteri Durrany Haqmar memulakan sesi dengan berkongsi tentang novel Yang Paling Patah Antara Kita, yang diterbitkan pada tahun 2022. Menurut beliau, novel ini merupakan koleksi peribadinya yang dibeli semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023. Novel ini sarat dengan emosi dan mampu menyentuh hati pembaca kerana ia mengangkat kisah kehidupan yang berkait rapat dengan perasaan kehilangan, kekecewaan dan kepatahan hati. Jalan ceritanya juga dianggap menarik kerana menggambarkan realiti kehidupan yang sering dilalui oleh masyarakat, terutamanya dalam aspek percintaan, persahabatan dan hubungan kekeluargaan.

Beliau turut menekankan bahawa kekuatan utama novel ini terletak pada cara pengarang menggambarkan emosi watak-wataknya dengan sangat mendalam. Pembaca dapat merasai kesedihan, kekecewaan serta harapan yang dialami oleh setiap watak dalam cerita. Selain itu, bahasa yang digunakan juga mudah difahami tetapi masih indah dan penuh makna. Hal ini menjadikan pembaca lebih mudah menghayati cerita dan memahami mesej yang ingin disampaikan oleh penulis. Novel ini juga mengingatkan pembaca bahawa setiap orang pasti pernah mengalami kekecewaan dalam hidup, namun pengalaman tersebut boleh menjadi pengajaran untuk menjadi lebih kuat dan matang.
Seterusnya, saudari Yasmin berkongsi ulasan mengenai buku Good Vibes, Good Life: How Self-Love Is the Key to Unlocking Your Greatness karya Vex King. Buku ini merupakan sebuah buku motivasi yang memberi inspirasi kepada pembaca untuk mencintai diri sendiri dan menjalani kehidupan yang lebih positif.

Menurut beliau, salah satu konsep utama yang diketengahkan dalam buku ini ialah kasih sayang terhadap diri sendiri. Vex King menerangkan bahawa apabila seseorang menghargai dirinya, dia akan lebih mudah membina keyakinan diri, menetapkan matlamat hidup dan menghadapi cabaran dengan lebih tenang. Selain itu, buku ini juga menekankan kepentingan pemikiran positif, sikap bersyukur dan persekitaran yang baik dalam membentuk kehidupan yang lebih bermakna.

Buku ini sangat sesuai dibaca oleh remaja dan orang dewasa yang ingin memperbaiki diri serta meningkatkan keyakinan diri. Bahasa yang digunakan juga ringkas dan tidak terlalu berat, malah banyak contoh yang dekat dengan kehidupan seharian. Oleh itu, mesej yang disampaikan menjadi lebih mudah difahami dan memberi kesan kepada pembaca.
Secara keseluruhannya, kedua-dua buku yang dibincangkan dalam program ini membawa mesej yang sangat bermakna. Novel Yang Paling Patah Antara Kita lebih menekankan perjalanan emosi dan pengalaman hidup yang menyentuh perasaan, manakala Good Vibes, Good Life: How Self-Love Is the Key to Unlocking Your Greatness pula memberi panduan motivasi untuk membina kehidupan yang lebih positif. Kedua-duanya mengingatkan kita bahawa setiap cabaran hidup sebenarnya boleh menjadi peluang untuk belajar, memperbaiki diri dan menjadi individu yang lebih kuat serta matang.