Program Ijtihad Pustaka siri 4/2026 kerjasama Jabatan Perpustakaan UTM dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBP WS) telah berjaya dilaksanakan pada 16 Mac 2026 (Isnin). Panel jemputan ialah Dr. Maskiah binti Masrom, Pengarah Institut Persuratan Melayu, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim dan moderator ialah Dr. Naemah binti Hamzah daripada Pusat Islam UTM Johor Bahru. Program ini disiarkan secara eksklusif melalui platfom Facebook dan YouTube UTM Library TV.

Program dimulakan dengan sesi pengenalan buku Kisah-kisah Nabi Yusuf dalam Kesusasteraan Melayu oleh panel jemputan. Perbincangan menekankan kisah Nabi Yusuf sebagai sumber penting dalam kesusasteraan Melayu yang sarat dengan nilai kesabaran, keimanan dan kemaafan. Kisah ini, yang dikenali sebagai Ahsan al-Qasas dalam Surah Yusuf, dihuraikan sebagai contoh teladan lengkap yang merangkumi perjalanan hidup dari zaman kanak-kanak hingga menjadi pemerintah.

Panel turut menjelaskan perkembangan kesusasteraan Islam di alam Melayu melalui empat zaman utama, iaitu Samudera Pasai, Aceh, Melaka dan Johor-Riau. Kedatangan Islam telah mempengaruhi budaya dan kesusasteraan Melayu secara signifikan, dengan karya seperti hikayat dan puisi digunakan sebagai medium dakwah yang kreatif dan berkesan.
Adaptasi kisah ini dalam kesusasteraan Melayu mengekalkan kesetiaan kepada sumber asal, namun diolah dengan teknik penceritaan seperti dialog, monolog dan imbas kembali bagi memudahkan pemahaman pembaca. Penekanan terhadap nilai akhlak dan keyakinan kepada Allah SWT menjadikan karya ini relevan untuk semua lapisan masyarakat.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya memperlihatkan kepentingan kisah Nabi Yusuf sebagai sumber inspirasi dan medium dakwah dalam kesusasteraan Melayu. Pengolahan karya yang kreatif serta berteraskan nilai Islam membolehkan masyarakat menghayati ajaran agama dengan lebih mudah dan berkesan. Inisiatif seperti ini juga memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat penyebaran ilmu, pemeliharaan warisan serta penggerak budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
