Program Ijtihad Pustaka Siri 2/2026 merupakan salah satu inisiatif ilmiah yang menonjolkan peranan ilmu dan wacana sebagai pemacu kepada pembentukan gaya hidup lestari dalam kalangan masyarakat. Program ini telah berlangsung pada 2 Mac 2026 (Isnin) dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, dan disiarkan secara ekslusif melalui saluran rasmi Facebook dan YouTube UTM Library serta Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam memperluas akses kepada ilmu pengetahuan melalui platform digital, selaras dengan perkembangan teknologi komunikasi masa kini.

Sesi perbincangan telah dikendalikan oleh Encik Md. Saufi bin Md. Nawawi, penerbit rancangan dan penyampai radio Johor FM, Jabatan Penyiaran Negeri Johor, yang bertindak sebagai moderator. Dengan pengalaman luas dalam bidang penyiaran, beliau berjaya mengemudi sesi dialog secara tersusun, dinamik dan interaktif. Sepanjang sesi tersebut, moderator mengajukan pelbagai persoalan yang mendorong perbincangan mendalam tentang kepentingan pemakanan sihat sebagai asas kepada kesejahteraan fizikal dan mental dalam kehidupan seharian.

Panel jemputan, Dr. Mohd Firdaus Akmal bin Azman, Pegawai Perubatan dari Pusat Kesihatan UTM, telah berkongsi pandangan profesional berdasarkan pengalaman klinikal dan pemerhatian beliau terhadap pola kesihatan masyarakat. Dalam perkongsian tersebut, beliau menegaskan bahawa pemakanan sihat bukan sekadar pilihan gaya hidup, tetapi merupakan satu keperluan asas bagi mengekalkan tahap kesihatan yang optimum. Beliau turut menjelaskan bahawa perubahan gaya hidup moden yang serba pantas sering kali menjadi faktor yang menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan, sekali gus menuntut kesedaran yang lebih tinggi terhadap kepentingan pemakanan seimbang dan pengurusan kesihatan diri secara berterusan.

Perbincangan dalam program ini telah mengetengahkan buku bertajuk Pemakanan Sihat: Dorongan dan Kekangan karya Ismawati Sharkawi sebagai bahan rujukan utama. Menurut panel, buku tersebut memberikan gambaran menyeluruh tentang faktor-faktor yang mempengaruhi amalan pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan dorongan yang menggalakkan perubahan tingkah laku serta kekangan yang menghalang individu daripada mengamalkan pemakanan sihat secara konsisten. Antara kekangan utama yang dibincangkan termasuk kekangan masa, keterbatasan pilihan makanan sihat serta pengaruh gaya hidup moden yang sibuk, yang kesemuanya memberi kesan langsung terhadap tabiat pemakanan harian.


Secara keseluruhannya, Program Ijtihad Pustaka Siri 2/2026 telah berjaya mencapai matlamatnya sebagai platform perkongsian ilmu yang relevan dan bermanfaat kepada masyarakat. Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemakanan sihat, malah menyokong usaha universiti dalam merealisasikan agenda ASCEND 2030 melalui pendekatan inovatif dalam penyampaian ilmu. Inisiatif seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai wadah memperkasa masyarakat melalui dialog ilmiah, pembentukan gaya hidup sihat serta pengukuhan peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang dinamik dan responsif terhadap cabaran semasa.

Edit by : Norsyazwani Mohd Ariffin