Dalam usaha memperkukuh pembudayaan membaca serta menyokong agenda pembangunan masyarakat berilmu, Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2026 telah dilaksanakan pada 23 April 2026 (Khamis) di Perpustakaan Sultanah Zanariah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, sejajar dengan pelaksanaan program ini secara serentak di seluruh Malaysia.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia sebagai salah satu inisiatif berterusan dalam menggalakkan masyarakat menjadikan amalan membaca sebagai budaya ilmu yang lestari, selaras dengan aspirasi “Membaca Membina Bangsa”.
Aktiviti “Jom Baca 10 Minit Bersama” telah berlangsung pada jam 11.00 pagi hingga 11.10 pagi yang disiarkan secara langsung bersama rangkaian JKKN negeri-negeri. Aktiviti ini melibatkan penyertaan pelajar, staf universiti serta komuniti setempat yang bersama-sama meluangkan masa untuk membaca secara serentak sebagai simbolik komitmen dalam membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian.

Pada masa yang sama, turut diadakan Program Cakna Pusat Sumber Seni Budaya 2026 yang menampilkan pelbagai aktiviti seperti Pertandingan Deklamasi Puisi Sasterawan Negara, kuiz seni budaya serta aktiviti Jom Cuba Permainan Tradisional. Program ini turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu jemputan serta wakil kepimpinan universiti dan agensi berkaitan, termasuk sesi lawatan ke Perpustakaan Sultanah Zanariah oleh Pengarah JKKN Johor.
Selain itu, Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2026 juga turut diadakan di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM. Turut berlangsung pada waktu tersebut ialah Program Sinergi Majlis Sinergi Komuniti antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) anjuran Fakulti Pengurusan dengan kerjasama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Pusat Penyelidikan Fiqh dan Teknologi (CFiRST), Centre for Community and Industry Network (CCIN), serta Jabatan Perpustakaan UTM.

Sesi membaca selama 10 minit yang berlangsung di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah ini turut disertai oleh tetamu kehormat program yang juga merupakan perasmi program iaitu Yang Berhormat Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md On, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini telah berjaya menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan warga universiti dan masyarakat, seterusnya menyokong usaha berterusan dalam melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, berdaya saing dan berbudaya ilmu.