Program Pages of Wisdom: Human Library Siri 01/2026 merupakan satu inisiatif ilmiah yang telah dianjurkan oleh Jabatan Perpustakaan UTM pada 20 April 2026 di Ruang Terbuka Aras 1, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Penganjuran program ini bertujuan menyediakan ruang perkongsian ilmu dan pengalaman tokoh akademik sebagai buku hidup kepada warga universiti, selaras dengan usaha memperkukuh budaya ilmu, kepimpinan serta pembentukan sahsiah yang unggul dalam kalangan komuniti akademik. Program ini juga mencerminkan peranan perpustakaan sebagai institusi yang bukan sahaja menyediakan sumber rujukan, malah berfungsi sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat yang menyokong kecemerlangan akademik dan pembangunan profesional.

Dalam pelaksanaan program tersebut, sesi perkongsian ilmu telah disampaikan oleh panel jemputan, iaitu YBhg. Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail, Profesor dan Felo Kehormat Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC), Universiti Teknologi Malaysia, yang juga merupakan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia yang ketujuh. Sesi ini telah dikendalikan oleh moderator, YBrs. Prof. Madya Dr. Muhammad Hadi bin Bunyamin, Eksekutif Penyelidik di Pejabat Naib Canselor, Jabatan Canselori, Universiti Teknologi Malaysia. Perbincangan berlangsung dalam suasana yang tersusun dan interaktif, sekali gus membolehkan peserta memperoleh pandangan yang mendalam berkaitan kepimpinan akademik, pembangunan penyelidikan serta pengurusan institusi pengajian tinggi.

Dalam sesi perkongsian tersebut, YBhg. Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail telah berkongsi pengalaman dan perjalanan hidup beliau sejak kecil sehingga berjaya mencapai kecemerlangan sebagai tokoh akademik dan pemimpin universiti. Beliau menegaskan bahawa kejayaan yang dicapai tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya memerlukan asas didikan keluarga yang kukuh, disiplin diri yang tinggi serta kesungguhan berterusan dalam menuntut ilmu dan membina kerjaya. Selain itu, beliau turut menekankan bahawa penyelidikan universiti merupakan aset yang sangat mustahak dan perlu dipelihara serta diperkasakan secara berterusan bagi memastikan universiti kekal relevan, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan ilmu serta kemajuan negara.

Seterusnya, beliau turut berkongsi pandangan berkaitan pengurusan dan pentadbiran universiti, khususnya tentang kepentingan kerjasama berpasukan dalam melaksanakan sesuatu tugas. Menurut beliau, setiap perancangan dan pelaksanaan program atau dasar perlu dilakukan secara bersama-sama dengan semangat kesepaduan dan tanggungjawab kolektif. Di samping itu, beliau menegaskan bahawa aspek kecekapan dan kepantasan dalam tindakan atau speed amat penting dalam pentadbiran universiti bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan secara berkesan serta selaras dengan keperluan dan cabaran semasa. Para peserta juga turut menerima panduan berkaitan pembentukan sahsiah, antaranya kepentingan memulakan setiap usaha dengan adab, menetapkan matlamat yang jelas serta mempunyai komitmen untuk menyiapkan sesuatu tugasan dengan penuh tanggungjawab.


Secara keseluruhannya, penganjuran Program Pages of Wisdom: Human Library Siri 01/2026 telah berjaya mencapai objektif dalam menyemarakkan budaya ilmu, memperkukuh perkongsian pengalaman serta memberi inspirasi kepada warga universiti untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing. Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai wadah pembangunan intelektual, pemerkasaan kepimpinan serta pembentukan sahsiah yang holistik dalam kalangan warga universiti.