Pada 24 April 2026, Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyumbang sebanyak 20 naskhah buku kanak-kanak melalui kaedah penghantaran pos kepada Encik Zawawi Datuk Tiyunin, Ketua Pustakawan Jabatan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), bagi menyokong pelaksanaan Program Eksplorasi Ilmu @SK Petagas yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam (MKPUA).

Program Eksplorasi Ilmu @SK Petagas menampilkan pelbagai aktiviti interaktif dan menarik yang dirangka secara khusus bagi memberikan pendedahan awal kepada murid tentang kepentingan amalan membaca serta peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan sumber rujukan utama dalam usaha membudayakan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat.

Buku kanak-kanak yang disumbangkan ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam pelaksanaan aktiviti literasi dan pembelajaran interaktif di bawah program tersebut. Inisiatif ini bukan sahaja untuk menyokong usaha memperkukuh minat membaca dalam kalangan murid, malah turut menyumbang ke arah pembentukan generasi muda yang berilmu, berdaya fikir kritis serta menjadikan amalan membaca sebagai budaya kehidupan yang berterusan.

 

Share this :
UTM Open Day