Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Postgraduate Student Society (PGSS) telah menganjurkan Program Read & Relax Siri 5 yang disiarkan secara eksklusif menerusi Facebook dan YouTube Jabatan Perpustakaan UTM pada 16 April 2026, jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Siri kelima kali ini menampilkan dua orang panel, iaitu Encik Muhammad Syahir Redwan bin Mazlin, Presiden PGSS Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) mengupas karya Kapal Terakhir di Dunia: Episod 1, serta Encik Muhammad Umar Fitri bin Jamaludin, Naib Presiden PGSS Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), yang membincangkan karya Deliverance from Error oleh Al-Ghazali. Sesi tersebut dikendalikan oleh moderator, Cik Hanani Naqibah binti Mohd Azman, Presiden PGSS Fakulti Alam Bina dan Ukur (FKA).

Dalam sesi pertama, Encik Muhammad Syahir Redwan bin Mazlin telah mengupas karya Kapal Terakhir di Dunia: Episod 1. Karya tersebut membawa penonton menyelami gambaran dunia yang berada dalam keadaan kritikal, apabila sekumpulan manusia terpaksa bergantung kepada sebuah kapal sebagai satu-satunya tempat perlindungan.

Perbincangan menjadi semakin menarik apabila panel menghuraikan suasana misteri dan ketegangan yang melatari jalan cerita. Watak-watak utama mula menyedari bahawa mereka mungkin merupakan antara manusia terakhir yang masih hidup. Konflik, persoalan tentang kelangsungan hidup, serta hubungan antara manusia dalam keadaan terdesak menjadikan karya ini sarat dengan mesej dan pengajaran.

Sementara itu, Encik Muhammad Umar Fitri bin Jamaludin pula membincangkan karya Deliverance from Error oleh Al-Ghazali. Beliau menjelaskan bahawa karya tersebut merupakan catatan intelektual dan spiritual Al-Ghazali ketika melalui fasa keraguan terhadap ilmu yang dipelajari, termasuk falsafah, teologi dan pelbagai aliran pemikiran lain.

Menurut beliau, Al-Ghazali menilai secara mendalam pandangan ahli falsafah, golongan teologi (kalam) dan golongan batiniyyah sebelum akhirnya menemui ketenangan melalui jalan tasawuf. Perkongsian ini memberi kefahaman bahawa pencarian kebenaran tidak hanya bergantung pada akal dan logik semata-mata, sebaliknya memerlukan penyucian jiwa serta pengalaman rohani.

Kupasan kedua-dua karya tersebut bukan sahaja berjaya menarik perhatian penonton, malah membuka ruang kepada mereka untuk berfikir secara lebih kritis terhadap isu kemanusiaan, kepercayaan dan nilai kehidupan.

Pelaksanaan Program Read & Relax Siri 5 ini telah berjaya menggalakkan warga UTM untuk menimba ilmu melalui pelbagai genre bahan bacaan, di samping memperkukuh kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Program seumpama ini juga membuktikan bahawa medium podcast merupakan saluran yang berkesan dalam menyampaikan ilmu secara santai, interaktif dan dekat dengan masyarakat kampus.

Share this :
UTM Open Day