Pada 21 Mei 2026 (Khamis), Program BookSharing @UTMKL 2026/Siri 4 telah berlangsung dengan jayanya secara dalam talian. Sesi kali ini menampilkan dua orang pengulas jemputan, iaitu Encik Muhamad Bilal bin Ahmad, Pembantu Tadbir dari Pusat Islam dan Encik Mohd Shahrizan bin Mohd Saad, Penolong Jurutera dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur.

Program ini dikendalikan oleh Encik Shaharudin bin Ali, Pembantu Pustakawan dari Perpustakaan UTM Kuala Lumpur, selaku moderator. Sesi dimulakan dengan ulasan oleh Encik Muhamad Bilal yang memilih buku Kuasa Iqra karya Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Menurut penyampai, Kuasa Iqra: Menguasai Dunia, Menikmati Akhirat merupakan sebuah buku yang mengupas kepentingan membaca dan menuntut ilmu dalam Islam, berpandukan perintah pertama Allah SWT iaitu “Iqra’” sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-‘Alaq ayat 1 hingga 5.

Buku ini turut menghuraikan secara ringkas tafsir Surah al-‘Alaq yang menyentuh tentang nikmat wahyu, sikap keangkuhan manusia, penolakan terhadap perintah Allah serta keperluan untuk kembali kepada-Nya. Selain itu, penyampai turut menjelaskan maksud “Iqra” iaitu “bacalah” sebagai seruan penting kepada umat Islam untuk membudayakan ilmu dan amalan membaca dalam kehidupan seharian.
Secara keseluruhannya, buku ini sarat dengan dalil, kisah sirah, sejarah Islam serta contoh kehidupan semasa yang mampu memberi inspirasi kepada pembaca agar lebih menghargai ilmu dan menjadikan membaca sebagai amalan berterusan.
Perkongsian diteruskan oleh Encik Mohd Shahrizan yang membincangkan buku Al-Ma’thurat karya Al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna. Al-Ma’thurat merupakan himpunan doa dan wirid harian yang diriwayatkan oleh Nabi Muhammad SAW serta disusun oleh Imam al-Syahid Hasan al-Banna berdasarkan dalil dan amalan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Buku ini menghimpunkan pelbagai doa dan ayat al-Quran yang memberi manfaat besar dalam kehidupan harian, antaranya mendekatkan diri kepada Allah SWT, memohon perlindungan daripada gangguan syaitan, malapetaka dan bencana, memperoleh keberkatan rezeki, ketenangan jiwa serta dipermudahkan segala urusan kehidupan.

Selain itu, turut dijelaskan kelebihan beberapa ayat al-Quran seperti Surah al-Baqarah ayat 286 dan Ayat Kursi yang mempunyai fadilat besar apabila diamalkan secara istiqamah, antaranya sebagai pelindung diri serta amalan yang mendatangkan ganjaran pahala dan keberkatan hidup. Secara keseluruhannya, buku ini sangat sesuai dijadikan amalan harian bagi membentuk jiwa yang tenang, dekat dengan Allah SWT dan istiqamah dalam berzikir serta berdoa.