Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Podcast Scholars Chapter bagi Siri 2/2026 pada 5 Jun 2026 mengupas buku bertajuk Leadership and Motivation for Effective Training Transfer. Program yang disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook dan Youtube UTM Library ini menampilkan Dr. Salwa Abdul Patah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan sebagai panel jemputan, manakala moderator pula dikendalikan oleh Dr. Azra Ayue Abdul Rahman dari Fakulti Pengurusan. Perbincangan memberi fokus kepada isu pemindahan latihan serta peranan kepimpinan dalam memastikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui latihan dapat diaplikasikan secara berkesan dalam pekerjaan.

Mengulas mengenai faktor yang mendorong penulisan buku tersebut, Dr. Salwa menjelaskan bahawa kandungannya adalah berdasarkan penyelidikan PhD yang dijalankan dalam beberapa fasa dan melibatkan responden yang terdiri daripada pegawai awam dari seluruh negara. Kajian tersebut memfokuskan kepada faktor-faktor yang mempengaruhi pemindahan latihan, iaitu proses pemindahan pengetahuan, kemahiran dan sikap baharu yang diperoleh melalui latihan untuk diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas yang memerlukan tindakan dan prestasi kerja yang lebih baik.

Menurut beliau, pemindahan latihan merupakan aspek penting dalam pembangunan modal insan kerana keberkesanan sesuatu latihan tidak hanya diukur melalui penyertaan, tetapi melalui sejauh mana ilmu dan kemahiran yang dipelajari dapat digunakan di tempat kerja. Berdasarkan kajian terdahulu, hanya sekitar 10 peratus daripada kos latihan berjaya diterjemahkan kepada amalan dalam pekerjaan, manakala kira-kira 40 peratus peserta mengaplikasikan kemahiran baharu yang dipelajari. Perkara ini menjadi lebih signifikan apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM56 juta di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi meningkatkan kemahiran penjawat awam. Kajian tersebut turut mengenal pasti tiga faktor utama yang mempengaruhi pemindahan latihan, iaitu faktor individu, reka bentuk latihan dan persekitaran kerja. Faktor individu merangkumi kefahaman terhadap konsep latihan, keyakinan terhadap ilmu yang dipelajari serta tahap motivasi pekerja, manakala reka bentuk latihan melibatkan kandungan, susunan modul dan bahan latihan yang digunakan. Faktor persekitaran kerja pula menekankan kepentingan sokongan sosial daripada ketua dan rakan sekerja.

Perbincangan turut menyentuh mengenai kepimpinan transformasi yang dianggap sebagai antara gaya kepimpinan paling berkesan dalam menyokong pembangunan pekerja dan pemindahan latihan. Menurut panel, kepimpinan transformasi menekankan hubungan dua hala antara pemimpin dan pekerja melalui komunikasi, inspirasi dan kepercayaan. Seorang pemimpin perlu menjadi contoh teladan, mempunyai visi yang jelas serta mampu menyampaikan visi tersebut kepada pekerja dengan berkesan. Selain bersikap optimis dan tidak mudah berputus asa, pemimpin juga perlu terbuka menerima pandangan dan kritikan serta sentiasa mengutamakan pembangunan potensi pekerja. Dalam konteks ini, ketua bukan sekadar berperanan sebagai penyelia, malah perlu mengubah peranannya menjadi mentor yang membimbing dan membantu pekerja mencapai potensi terbaik mereka. Bagi membentuk ciri-ciri kepimpinan tersebut, panel menekankan kepentingan niat yang jelas untuk menjalani kehidupan yang bermakna (meaningful life), disertai dengan adab dan akhlak yang baik serta motivasi yang tinggi untuk terus belajar dan berkembang. Beliau turut berkongsi bahawa pekerja yang bahagia didapati 31 peratus lebih produktif, lebih fokus serta mampu menjana lebih banyak idea berbanding pekerja yang kurang bermotivasi.

Secara keseluruhannya, Program Scholars Chapter Siri 2/2026 telah berjaya menyediakan platform perkongsian ilmu yang bermanfaat mengenai hubungan antara latihan, motivasi dan kepimpinan dalam pembangunan modal insan. Program ini bukan sahaja memperkaya pemahaman peserta mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan latihan, malah memberi inspirasi kepada pemimpin dan pekerja untuk terus membangunkan potensi diri demi mencapai kecemerlangan organisasi dan kesejahteraan bersama.

Share this :
UTM Open Day