JOHOR BAHRU, 3 Julai 2026 – Budaya membaca, menelaah dan berfikir secara mendalam perlu terus diperkasakan dalam kalangan warga universiti bagi melahirkan masyarakat berilmu yang bukan sahaja memiliki pengetahuan, malah mampu membuat pertimbangan secara kritis dan berasaskan fakta. Bersempena Semarak Kampus, Program Telaah Siri 4/2026 telah berlangsung di Dewan Astana, Kolej Tuanku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejurus selesai solat Subuh berjemaah. Program yang dikendalikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar selaku moderator itu menampilkan YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, sebagai panel utama bagi menelaah buku Third Millennium Thinking: Creating Sense in a World of Nonsense. Turut hadir ialah Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, bersama barisan pengurusan tertinggi UTM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).


Sesi dimulakan dengan pengenalan oleh moderator yang memperkenalkan Dato’ Seri sebagai pengasas Program Telaah. Dato’ Seri menjelaskan bahawa program tersebut lahir daripada aspirasi untuk menghidupkan semula budaya telaah, iaitu amalan membaca, mengkaji dan memahami sesebuah karya secara mendalam sebagaimana tradisi para sarjana terdahulu yang menjadikan kitab dan buku sebagai sumber utama pembinaan ilmu. Dalam perkongsiannya, Dato’ Seri menegaskan bahawa dalam setiap aspek kehidupan, perkara yang paling utama ialah doa, sebagaimana firman Allah SWT, رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا (“Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu.” – Surah Taha: 114). Menurut beliau, ilmu merupakan perkara yang membezakan antara seseorang yang benar-benar memahami sesuatu dengan sebaliknya.

Mengulas buku Third Millennium Thinking: Creating Sense in a World of Nonsense, Dato’ Seri menyifatkan karya tersebut sebagai sebuah buku yang mencabar kerana dihasilkan oleh para sarjana terkemuka. Namun begitu, buku tersebut amat relevan dalam membantu pembaca memahami kaedah berfikir secara sistematik dan objektif, khususnya dalam dunia hari ini yang dibanjiri dengan lambakan maklumat dan kepantasan penyampaian maklumat (information age). Dato’ Seri turut menghuraikan konsep “The Arrival of Meaning”, iaitu ketibaan makna yang benar-benar meresap ke dalam jiwa, serta menegaskan bahawa membaca tidak seharusnya berakhir pada penguasaan fakta semata-mata, sebaliknya perlu membentuk cara berfikir, nilai dan tindakan seseorang.

Dalam membincangkan kaedah berfikir, Dato’ Seri menegaskan bahawa pendekatan probabilistik hendaklah dibina atas asas yang kukuh, manakala setiap bentuk skeptisisme perlu disokong oleh bukti dan hujah yang sahih, bukan sekadar andaian. Dato’ Seri turut mengupas konsep kullī (كُلِّي) yang membawa maksud melihat sesuatu secara menyeluruh serta mengaitkannya dengan falsafah UTM, “Kerana Tuhan untuk Manusia”. Selain itu, beliau menekankan kepentingan membina thinking capacity melalui amalan tafakur, di samping mencadangkan agar siri ulasan buku ini dapat dilaksanakan secara berstruktur dengan melibatkan ahli-ahli akademik mengikut bab bagi memperkayakan budaya wacana ilmu di universiti.

Dato’ Seri turut menyifatkan UTM sebagai sebuah universiti teknikal yang mempunyai identiti dan kekuatan tersendiri dalam pembangunan ilmu melalui penerbitan karya-karya ilmiah berkualiti. Seterusnya, Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar turut berkongsi legasi Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid, pengasas UTM, yang memperkenalkan doa di pintu masuk utama universiti sebagai manifestasi bahawa kecemerlangan akademik hendaklah sentiasa berpaksikan nilai kerohanian dan kebergantungan kepada Allah SWT.

Mengakhiri perkongsiannya, Dato’ Seri membacakan firman Allah SWT, وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا (“Dan tidaklah kamu diberikan ilmu melainkan sedikit.” – Surah Al-Isra’: 85). Dato’ Seri menegaskan bahawa semakin tinggi ilmu seseorang, semakin tawaduk dirinya, ibarat resam padi yang semakin berisi semakin menunduk. Diharapkan Program Telaah anjuran Jabatan Perpustakaan UTM ini akan terus menjadi platform yang menyemarakkan budaya membaca, menelaah dan berfikir secara kritis dalam kalangan warga UTM, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan dan sarjana yang berilmu, berintegriti dan berbakti kerana Tuhan untuk manusia.